Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai rangka kerja kawal selia yang dicadangkan berkaitan pengurusan risiko teknologi oleh entiti pasaran modal.

Landskap teknologi pasaran modal Malaysia telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan penerimaan terhadap teknologi amat penting bagi mencapai pasaran modal yang inklusif dan cekap.

Walaupun teknologi merupakan pemboleh utama, penggunaan luas dan pantas boleh menimbulkan risiko dalam pelbagai bidang jika tidak diurus dengan betul.

Rangka kerja kawal selia yang dicadangkan untuk pengurusan risiko teknologi adalah sebahagian daripada komitmen SC untuk meningkatkan tadbir urus dan pengawasan risiko teknologi dalam entiti pasaran modal sambil mengukuhkan lagi daya tahan
teknologi mereka.

Ia juga selaras dengan pembangunan dan aspirasi kawal selia SC yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 3.

Berdasarkan ini, kertas perundingan tersebut menetapkan sorotan utama rangka kerja kawal selia yang dicadangkan untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu seperti tadbir urus dan proses pematuhan, pengurusan risiko teknologi, keselamatan siber data dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga, serta prinsip yang berkaitan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).

Rangka kerja kawal selia yang dicadangkan bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan dan keberkesanan entiti pasaran modal dalam mengesan dan menangani pelbagai risiko teknologi yang semakin meningkat disebabkan penggunaan teknologi
yang tinggi, kemunculan teknologi baharu dan ancaman siber yang semakin canggih.

Kertas perundingan berkaitan rangka kerja kawal selia ini boleh didapati di sini.

Pihak awam dan orang ramai yang berminat dialu-alukan untuk mengemukakan komen, maklum balas dan pertanyaan mereka kepada SC sebelum 19 September 2022 di [email protected]. – MalaysiaGazette