Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani bersama pengamal media di Majlis Makan Malam PDRM bersama Media di Mess Pegawai Bukit Aman pada 31 Julai 2022.Foto MOHAMMAD FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah diarahkan agar memberikan kerjasama kepada pihak media dalam menyalurkan sebarang maklumat diperlukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kerjasama itu sangat penting bagi mengelak berlakunya sebarang kekeliruan maklumat dan salah faham khususnya dalam kalangan masyarakat membabitkan sesuatu isu.

“Kerjasama ini bagi membolehkan semua ketua polis (negeri dan daerah) memainkan peranan membantu pihak media dengan menyalurkan maklumat yang penuh dan lengkap yang diperlukan untuk membawa sesuatu berita disampaikan kepada masyarakat.

“Kebanyakan kes yang berlaku adalah rutin, jadi kenapa saya perlu mengehadkan kepada Pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kenyataan media, maka inilah peranan ketua polis (negeri dan daerah) untuk beri apa jua maklumat kepada media.

“Saya mahu pegawai kanan saya khususnya membabitkan Ketua polis negeri dan daerah juga memainkan peranan proaktif berkongsi apa jua maklumat mengenai sesuatu isu atau kejadian yang diperlukan pengamal media,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam PDRM bersama media di Bukit Aman di sini malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani bersama pengamal media di Majlis Makan Malam PDRM bersama Media di Mess Pegawai Bukit Aman pada 31 Julai 2022.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Pada majlis yang sama pengamal media turut diberikan taklimat penerangan berhubung kawalan keselamatan PDRM membabitkan orang kenamaan dan VIP supaya mendapat pencerahan yang  teliti dan elak kekeliruan protokol.

Beliau juga menharapkan majlis makan malam seumpama merapatkan hubungan silaturahim sesama PDRM dan juga pengamal media agar bekerjasama dalam memelihara keselamatan sejagat selain menyalurkan tanggungjawab PDRM kepada masyarakat.

“Jika dahulu semasa saya muda, kita selalu mengadakan majlis seumpama bersama media dan kini majlis malam ini menjadi permulaan untuk kita mengembalikan budaya erat silaturrahim PDRM dan media agar lebih utuh.

Tambah Acryl Sani, PDRM bukan sebuah agensi yang defensive atau posessive serta tidak berniat untuk menyembunyikan apa-apa daripada pengamal media atau masyarakat dalam menjaga keamanan serantau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani bersama pengamal media di Majlis Makan Malam PDRM bersama Media di Mess Pegawai Bukit Aman pada 31 Julai 2022.Foto MOHAMMAD FAREEZ FADZIL

Menurutnya, dunia kini adalah zaman teknologi digital dan terbuka dan semua berada dalam satu bangunan yang tidak ada apa yang hendak disembunyikan oleh PDRM daripada masyarakat dan tiada yang perlu dihadkan.

“Berapa ramai masyarakat yang kenal ketua polis Perlis, Melaka dan sebagainya..wartawan sahaja yang kenal sebab sentiasa bertemu mengambil berita bagaimana dengan masyarakat, jadi di sini saya mahu semua ketua polis memainkan peranan bersama.

“Kerjasama ketua polis negeri dan juga daerah sebegini sebenarnya langkah kita menyelaraskan penyampaian maklumat kepada pihak media agar mereka tidak berasa di scoop atau sisihkan daripada maklumat sebaliknya maklumat dikongsikan secara sama rata dan lengkap untuk dihebahkan kepada masyarakat secara tepat dan berinformatif.

“Lagi pun kerjasama itu melambangkan semangat berpasukan membabitkan kontinjen negeri dan daerah bersama media dalam menangani apa jua isu semasa agar menjamin ketenteraman awam, ” tegasnya. – MalaysiaGazette