MELAKA – Taktik seorang kontraktor menggunakan alamat syarikat kurier untuk ‘mengimport’ lima senjata ke negara ini dengan mengisytiharkannya sebagai barangan hiasan logam membawa padah apabila diberkas pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, Norlela Ismail berkata, dalam kejadian 8 Jun lalu itu, lelaki berusia 36 tahun berkenaan ditahan hasil maklumat daripada syarikat kurier terbabit.
Menurutnya siasatan mendapati, lelaki terbabit menggunakan alamat syarikat penghantaran itu sebagai penerima senjata api dan peluru yang ditempah dari Sepanyol kononnya untuk koleksi peribadi.
“Apabila pesanannya sudah sampai di syarikat kurier terbabit, orang yang disyaki (OYDS) itu akan menghubungi mereka dan bertemu di sebuah hotel di Ayer Keroh untuk mengambil bungkusannya itu yang diikrarkan sebagai sebagai ‘handycarfts metal decorations’.
“Bagaimanapun, dalam tangkapan 8 Jun lalu, OYDS terbabit berjaya ditahan dan JKDM berjaya menyita dua laras ‘precision airgun’, satu laras ‘BB Rifle’ dan satu pucuk ‘air pistol’ beserta tiga tin peluru di tempat letak kereta hotel di Ayer Keroh.
“Susulan itu, JKDM turut menyerbu rumahnya di Bemban dan berjaya merampas sepucuk ‘air pistol’ menjadikan keseluruhan lima senjata api dan setin peluru disita,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Melaka, di Ayer Keroh di sini hari ini.
Tambahnya, senjata api diklasifikasi sebagai dagangan larangan di bawah Butiran 48, Jadual Ketiga/ Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2022.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Norlela berkata, JKDM Melaka merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM23 juta beserta duti dan cukai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Ia melibatkan sebanyak 101 kes yang disenaraikan dalam Perintah Larangan Import 2017 dan Larangan Mengenai Import 2022 dengan membabitkan seramai penahanan 30 OYDS.
“Kes-kes ini melibatkan rampasan rokok, minuman keras, kereta, mercun dan bunga api serta senjata api yang mana nilai keseluruhan barang rampasan beserta cukai berjumlah RM23,080,000.14,” katanya. – MalaysiaGazette