Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini bencana banjir di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengakui bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) didapati kurang menyalurkan maklumat amaran banjir ketika fenomena Monsun Timur Laut melanda negara, tahun lalu.

“Sewaktu berlakunya fenomena Monson Timur Laut tahun lepas, kita (Nadma) akui bahawa kelemahan siaraya dan memberikan amaran kepada awam memang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan siaraya yang dikendalikan oleh media sosial.

“Sehubungan itu, program yang melibatkan lebih ramai peserta libat urus terutama pemimpin di kawasan yang berlaku banjir.

“MetMalaysia telah mengeluarkan amaran banjir melalui telco dan SMS kepada kawasan setempat, setiap hari agar rakyat perlu didedahkan dengan maklumat terkini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin), di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasan bertanya soalan tambahan apakah langkah kerajaan untuk memberikan kesedaran supaya masyarakat lebih berwaspada supaya tidak terperangkap dengan banjir.

Abd Latiff sebelum itu menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin tahu langkah-langkah persediaan kerajaan sejak kejadian bencana banjir tahun lalu.

Menjawab pertanyaan itu, Abd Latiff berkata, satu persidangan khas sudah diadakan Januari lalu bagi menangani Monson Timur Laut.

“Sejak 16 Disember tahun lalu, negara mengalami bencana banjir yang agak besar melibatkan kerugian lebih RM6 bilion.

“Sejajar dengan itu, satu persidangan khas diadakan pada Januari dan ekoran itu banyak perkara yang kita belajar daripada kesilapan dan persediaan bagi menangani Monson Timur Laut 2022-2023 sudah dilakukan oleh Nadma dengan kerjasama pengurusan bencana negeri,” katanya lagi.

Jelasnya, faktor kurang komunikasi antara agensi-agensi yang melakukan siaraya dan amaran banjir mahupun interaksi antara agensi yang berada di pusat kawalan menjadi faktor penyumbang kepada permasalahan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast