Zolkifly (kanan) memimpin lafaz syahadah kepada Hor Say Eng (kiri) yang memeluk agama Islam di Telok Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini

PULAU PINANG – Hubungan ibu dan anak berpisah tiada selagi nyawa dikandung badan walaupun masing-masing berbeza anutan agama.

Berpegang kepada prinsip itu, Hor Say Eng, memilih Islam sebagai cara hidup apabila mendapati bahawa sebagai anak, dia perlu sentiasa menghormati dan menjaga ibunya hingga akhir hayat.

Setelah lima tahun mengenali kehidupan rakan-rakannya yang beragama Islam, Say Eng, 48, memeluk Islam setelah mendapati bahawa antara prinsip utama agama Islam ialah seseorang anak tidak boleh meninggikan suara terhadap ibunya.

“Sejak lima tahun lalu saya banyak mengenali kehidupan rakan-rakan yang beragama Islam.

“Dari situ, saya dapati bahawa seorang anak perlu sentiasa menghormati ibunya. Tidak boleh marah. Tidak boleh tinggikan suara walaupun ibu bukan beragama Islam. Memang pada mulanya saya ingat apabila peluk Islam seseorang itu kena berpisah dengan keluarga yang bukan beragama Islam. Tanggapan saya itu rupanya salah.

“Malah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk menjaga ibunya selagi hayat dikandung badan,” katanya yang tidak bekerja dan menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak 12 tahun lalu.

Say Eng yakin dengan memeluk Islam dia dapat menjaga ibunya dengan lebih baik kerana agama Islam menyuruh berbuat demikian termasuk dari segi makan dan minum.

Say Eng memeluk Islam dengan melafazkan syahadah yang dipimpin serta dikendalikan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md. Lazim di Telok Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

MyIKUT merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang aktif membantu golongan mualaf di Pulau Pinang.

Mengenai ibunya yang terlantar sakit dan tidak boleh bangun, Say Eng berkata, setiap hari dia akan menyuapkan ibunya selain memandikan serta menukarkan pakaian.

“Saya rasa bangga kerana dapat menjaga ibu yang kini uzur. Dialah yang melahirkan saya serta mengasuh saya sejak kecil lagi. Kini tiba giliran saya untuk membalas jasa ibu yang berusia 83 tahun,” katanya.

Sebelum memeluk Islam, Say Eng pernah mendirikan rumah tangga sebelum kematian suaminya pada tahun 2015 . Dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 21 tahun.

Menjawab pertanyaan, Say Eng berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk menjaga dan tinggal bersama ibunya kerana agama Islam mempunyai garis panduan yang jelas mengenai peranan seorang anak terhadap ibunya.

Sementara itu, dalam majlis lafaz syahadah itu, Zolkifly turut menerangkan mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman kepada Say Eng.

“Islam memudahkan umatnya dalam banyak perkara. Mulai saat ini, MyIKUT akan sentiasa memantau keperluan Say Eng yang menjaga ibu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast