Bin Laden (kiri) dan Zawahiri bersama-sama mengisytiharkan perang ke atas AS dan didakwa dalang dalam serangan 11 September 2001. Foto Reuters

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) telah membunuh pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, dalam operasi memerangi keganasan di Afghanistan, menurut laporan media.

Ayman terbunuh dalam serangan dron yang dilakukan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Kabul, pada hari Ahad.

Setakat ini tiada pengesahan dibuat mengenai perkara ini.

Bagaimanapun, White House berkata, Presiden Joe Biden akan memberikan butiran operasi di Afghanistan dalam beberapa jam akan datang.

CBS News melaporkan tiga sumber telah mengesahkan pembunuhan itu.

The New York Times, Washington Post dan CNN turut memetik sumber tidak dikenal pasti bagi pengesahan mangsa.

Ayman mengambil alih al-Qaeda selepas kematian Osama bin Laden pada 2011.

Beliau dan Bin Laden didakwa mendalangi serangan 9/11 ke atas Amerika Syarikat dan menjadi seorang “pengganas paling dikehendaki” AS.

Seorang pegawai kanan AS sebelum ini mengesahkan operasi “berjaya” terhadap sasaran “penting” al-Qaeda di Afghanistan.

Operasi itu berlaku pada hujung minggu dan tidak membabitkan orang awam, tambah pegawai itu.

Pada masa yang sama, jurucakap Taliban melaporkan bahawa serangan dron AS telah berlaku pada hari Ahad di kawasan perumahan Kabul.

Dia menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran prinsip antarabangsa yang jelas.

”Tindakan sebegitu adalah pengulangan daripada pengalaman gagal sejak 20 tahun lalu dan bertentangan dengan kepentingan Amerika Syarikat, Afghanistan dan rantau ini,” tambah jurucakap itu.

Zawahiri, seorang pakar bedah mata yang membantu menubuhkan kumpulan Jihad Islam Mesir, mengambil alih kepimpinan al-Qaeda berikutan pembunuhan Bin Laden oleh tentera AS pada Mei 2011.

Sebelum itu, Zawahiri sering disebut sebagai orang kanan Bin Laden dan ketua ideolog al-Qaeda.

Dia dipercayai oleh beberapa pakar sebagai “otak operasi” di sebalik serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat. – BBC