Mohamed Shahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Gombak memandang serius dakwaan Majlis Dakwah Negara (MDN) bahawa lebih 400 sekolah pondok di negara ini berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Putra Bahagian itu, Mohamed Shahrin Ismail dukacita dengan kenyataan Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid itu yang dikeluarkan tanpa kajian teliti.

Menurut beliau, institusi pondok di negara ini termasuk Selangor yang tumbuh bagai cendawan adalah pusat pengajian bagi ilmuwan menuntut ilmu Islam.

Katanya, ia juga institut pengajian tertua yang melahirkan ramai alim ulamak, Mufti, Ahli Majlis Fatwa, pemimpin dan dengan pengurusan serta pentadbiran yang bersih, amanah serta mengikut kriteria pengajian Islam.

“Pengajian di pondok menekankan pembelajaran agama dan adab yang sangat tinggi. Penumpuan khusus kepada tauhid, feqah, tasawuf dan sebagainya.

“Ditambah lagi dengan pembelajaran ilmu alat seperti nahu, sorof dan sebagainya sebagai syarat penguasaan ilmu turath yang lebih tinggi dengan kaedah pengajian dari kulit ke kulit.

“Amal ibadah yang ditekankan guru serta mursyid yang mengajar tanpa gaji serta hampir sepenuh masa sentiasa memastikan pelajar beramal mengikut disiplin serta garis panduan syarak berdasarkan al-Quran, Hadis dan Ijmak Ulamak,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr. Mahmood Zuhdi yang menyatakan kebimbangannya jika sesebuah ­institusi pengajian pondok dibiar tanpa pemantauan daripada kerajaan.

Malah, menurut beliau, sesebuah sekolah pondok sepatutnya diberi panduan dan diaudit berkala serta mempunyai silibus mata pelajaran ditetapkan bagi mengelak ia terpesong.

Menurut Mohamed Shahrin, institusi pondok merupakan benteng yang mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini dari diracuni fahaman songsang yang cuba dibawa masuk ke dalam masyarakat.

Tanpa mereka, katanya, banyak aliran songsang seperti syiah, wahabi, liberal dan sebagainya berleluasa dengan pelbagai tuduhan liar bagi tujuan menghapuskan sistem pengajian pondok.

“Di peringkat Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia (PMPS) juga, kita mendapati telah mengumpulkan 313 pondok di seluruh negara yang dipantau pengerusi negeri masing-masing.

“Mereka ini terdiri dari kalangan tuan guru pondok, begitu juga pengaturan dan penyelarasan beberapa program seperti Pondok Mahasiswa yang telah mendapat pengiktirafan universiti tempatan.

“Melihat usaha PMPS mengatur sukatan pembelajaran bagi pensijilan untuk mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan bagi membuka ruang kepada pelajar pondok menyambung pelajaran di dalam dan luar negara adalah satu pendekatan yang baik selari dan selaras dalam kehendak penuntut ilmuwan,” kata beliau.

Beliau berkata, usaha memperkenalkan institusi pondok kepada masyarakat menjadi agenda utama termasuk mengumpulkan khazanah (Manaqib) ulamak untuk diperkenalkan kepada masyarakat.

Ini katanya, salah satu usaha dalam perancangan membina Muzium Ulamak yang diuruskan oleh Unit Arkib PMPS.

“Melihat kepada Program Pelancongan Pondok, menginap dan mengikuti pengajian di pondok agar masyarakat lebih mengenali dan merasai suasana sebenar di situ adalah satu usaha dakwah yang amat baik.

“Justeru, Putra Bahagian Gombak menuntut Dr. Mahmood Zuhdi dan media yang menyiarkan kenyataan beliau memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang diterbitkan.

“Ini bagi dapat menjaga hati para alim ulama dan warga pondok yang telah bekerja dengan penuh keikhlasan selama ini demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette