Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAB) dan Persatuan Hentikan Pemerdagangan Orang (SHUT) sempena Persidangan Menentang Pemerdagangan Orang di Akademi MAB, Kelana Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia boleh membantu kerajaan dalam membanteras kegiatan pemerdagangan orang dengan menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, selain rakyat, kerajaan juga mengharapkan kerjasama daripada beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menangani masalah itu.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai sempadan mudah digunakan penjenayah untuk kegiatan penyeludupan terutama pemerdagangan orang.

Kegiatan itu dilakukan sama ada melalui udara dengan pesawat, laut menggunakan kapal, bot, tongkang serta darat dengan menumpangkan bas, teksi, grab dan sebagainya.

“Saya berterima kasih kepada Malaysia Airlines Berhad Academy dengan sebuah NGO, SHUT Fly-HT menganjurkan persidangan ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk sama-sama membantu kerajaan membanteras kegiatan pemerdagangan.

“Semalam pun saya telah buat laporan di Parlimen mengenai penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara kita pada Tahap 3.

“Sebab itu kita tingkatkan usaha dan tahun ini kita akan tambah lagi program seperti ini dengan melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi,” katanya selepas merasmikan Persidangan Penerbangan Membanteras Pemerdagangan Orang di Malaysia Airlines Berhad Academy di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketia Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak; Pengerusi Kumpulan Penerbangan Malaysia, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail.

Hamzah mengalu-alukan mana-mana pihak menganjurkan program seperti itu, lebih lagi apabila Isham menyatakan, ramai rakyat tidak sedar bagaimana cara untuk mengetahui seseorang itu menjadi mangsa pemerdagangan orang.

“Kita dengar ucapan daripada KSU MOT tadi, ramai yang tidak menyedari bagaimana caranya untuk kita mengetahui sama ada orang itu menjadi mangsa ataupun ada seseorang yang akan menggunakan segala teknologi menyebabkan orang lain menjadi mangsa atau secara tidak langsungnya tiba-tiba menjadi mangsa.

“Ini semua harus didedahkan kepada masyarakat di luar sana. Kita tidak mahu lagi negara ini terus diletakkan di Tahap 3 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat

“Yang paling mustahak kepada kita, bukan nak tangkap mangsa, tetapi nak kenal pasti mangsa supaya kita dapat bantu mereka. Yang kita nak tangkap adalah mereka yang melakukan kesalahan iaitu penjenayah. Kita akan tangkap mereka menggunakan segala kaedah yang ada,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan mempunyai dua akta untuk menangkap penjenayah terbabit iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644) serta akta yang digunapakai melalui Akta Imigresen.

Kata Hamzah, dua undang-undang itu boleh digunakan untuk menangkap segala jenayah yang membabitkan diri mereka dalam isu pemerdagangan orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast