GEORGE TOWN – Dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bebas asap rokok, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bercadang mewartakan satu lokasi zon larangan merokok di setiap daerah.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKNPP Ong Ang Guan berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti lokasi yang dicadangkan oleh JKNPP daerah masing-masing dan ia akan diusulkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.
“Kami merancang mahu mengadakan mesyuarat bersama Exco Kesihatan dan kita harap ia dibawa untuk makluman kerajaan negeri agar lokasi yang dikenal pasti diwartakan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Ang Guan ditemui selepas menghadiri taklimat Pelaksanaan Generational End Game (GEG) dan Penguatkuasaan Tembakau 2022 di Kompleks Tun Abdul Razak.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNPP, Datin Dr. Azizah Ab Manan berkata, peningkatan jumlah perokok tradisional, rokok elektronik atau vape pada masa ini semakin membimbangkan.
Kata beliau, jumlah perokok wanita lebih rendah berbanding lelaki tetapi ia menunjukkan peningkatan drastik.
“Mungkin kerana kita terlalu tertumpu kepada remaja lelaki atau dewasa yang lebih terpengaruh dengan tabiat merokok sedangkan remaja perempuan juga mengalami ketagihan yang sama.
“Sehubungan itu, kita perlu lakukan sesuatu bagi menanganinya dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dapat mencegah perkara ini,” kata Azizah.
Media tempatan sebelum ini melaporkan masjid dan rumah ibadat di Pulau Pinang telah diwartakan sebagai zon larangan merokok. – MalaysiaGazette