25 orang PATI termasuk enam perempuan yang diseludup masuk menggunakan Vellfire yang dipandu seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun telah diberkas polis di ibu negara semalam.-Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pemerdagangan orang ke dalam negara ini dengan tertangkapnya seorang remaja lelaki semalam.

Remaja berusia 17 tahun itu diberkas polis selepas suspek cuba melarikan diri bersama 25 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan kenderaaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bewarna hitam yang kemudian berjaya dicekup polis.

Ketua Polis daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 2 Ogos lalu, lebih kurang pukul 12.05 tengahari, sepasukan polis telah menahan sebuah kereta yang dipandu suspek remaja berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Selinsing.

Katanya, kejadian berlaku ketika polis membuat rondaan di sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dan mendapati sebuah kereta MPV Jenis Vellfire berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Polis telah menghampiri MPV tersebut sebelum remaja itu memecut laju dan enggan memberi kerjasama memberhentikan Vellfire untuk pemeriksaan.

“Pihak polis telah megejar kereta suspek tersebut dan apabila sampai di Jalan Selinsing, ia telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang anggota kami yang sedang bertugas sehingga menyebabkannyaterbabas selain suspek juga melanggar tiga buah motosikal milik orang awam di tempat kejadian.

“Hasil siastan mendapati pemandu Vellfire itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 17 tahun manakala di bahagian tempat duduk belakang, pemeriksaan polis mendapati 19 lelaki dan enam perempuan warga Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun ditemui ‘disumbatkan’ dalam Vellfire itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Vellfire remuk hadapan yang dipandu remaja lelaki tempatan membawa 25 PATI tidak berdokumen dari Rantau Panjang untuk mencari pekerjaan di KL dengan bayaran RM6,000 seorang kepada tekong dalam kejadian semalam. Ihsan IPD Sentul

Tambah beliau, seorang lagi penumpang di hadapan Vellfire yang merupakan lelaki warga tempatan berjaya melarikan diri semasa kemalangan itu berlaku.

Ujar Eng Lai, hasil semakan identiti semua penumpang mendapati kesemuanya adalah PATI yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan peribadi.

“Menurut suspek, dia dan seorang lagi rakannnya telah melarikan diri dari lokasi sebenarnya telah bertolak dari Rantau Panjang, Kelantan menuju ke ibu negara pada 2 Ogos lalu  untuk menghantar kesemua PATI berkenaan mencari pekerjaan di ibu negara.

“Bayaran yang dikenakan kepada setiap individu PATI oleh tekong (penghantar) adalah RM6,000 bagi tujuan memasuki negara secara haram untuk bekerja bagi mencari nafkah hidup,” ujarnya.

Tegas Eng Lai, kini kesemua suspek berkenaan termasuk pemandu Vellfire itu telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast