KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu sumber pendapatan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak disiasat ketika mengendalikan kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar itu.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asbi Munip berkata, siasatannya hanya tertumpu kepada aktiviti pemindahan wang berjumlah RM100,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Beliau berkata, Syed Saddiq telah melakukan dua pemindahan wang masing-masing sebanyak RM50,000 pada 16 Jun dan 19 Jun 2018 berdasarkan siasatannya.
“Saya hanya fokus kepada siasatan saya (pemindahan wang),” katanya pada perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid di sini hari ini.
Asbi yang juga pendakwaan ke-29 itu turut disoal balas oleh peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq berhubung punca pendapatan Ahli Parlimen Muar itu sebelum dilantik sebagai menteri Kabinet.
Saksi menyatakan beliau sedar Syed Saddiq pernah menerima elaun ketika menjadi tutor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Asbi bagaimanapun tidak dapat mengingati sama ada Syed Saddiq pernah menjadi pensyarah debat bahasa Inggeris, jurulatih debat UIA serta kolumnis beberapa buah portal.
Asbi dalam keterangannya turut mengakui beliau tidak menyiasat jumlah perbelanjaan yang dibiayai dahulu oleh Syed Saddiq untuk program kempen pilihan raya.
“Saya hanya menyiasat berhubung wang RM100,000,” jawab Asbi.
Sebelum itu, beliau ditanya oleh Timbalan Pendakwa, Raya Noor Syafina Mohd. Radzuan bagaimana dapat memastikan wang RM100,000 daripada akaun Maybank dimasukkan ke dalam akaun ASB Syed Saddiq.
Saksi menjelaskan, terdapat empat transaksi kemasukan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke dalam akaun Maybank Syed Saddiq yang mana RM100,000 kemudian dipindahkan ke dalam akaun ASB tertuduh.
Perbicaraan akan bersambung pada 22 Ogos ini.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
– MalaysiaGazette