TAIWAN – China sedang bersiap sedia untuk mengadakan latihan ketenteraan di laut sekitar Taiwan susulan lawatan ahli politik Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu.
Pelosi telah berlepas pulang pada hari Rabu selepas lawatan singkat tetapi penuh kontroversi ke Taiwan.
Sebagai tindak balas, China mengumumkan lima hari latihan ketenteraan “perlu dan adil”, yang akan bermula pada Khamis.
Namun, Taiwan mengesahkan 27 pesawat pejuang China telah pun memasuki zon pertahanan udaranya.
Semalam, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, ia telah melancarkan jet untuk memberi amaran kepada China.
Kementerian itu mendakwa pesawat tidak dikenali, mungkin dron, telah terbang di atas Pulau Kinmen yang terpencil, lapor Reuters dan tentera melepaskan suar untuk menghalau pesawat dan terus berjaga-jaga.
China berkata, latihan itu akan diadakan di beberapa laluan air paling sibuk di dunia termasuk “tembakan peluru hidup jarak jauh”.
Taiwan telah meminta kapal-kapal mencari laluan alternatif untuk mengelak latihan itu dan sedang berunding dengan negara jiran Jepun dan Filipina untuk mencari laluan penerbangan alternatif.
Presiden Tsai Ing-wen berkata, negara itu sedang menghadapi “ancaman tentera yang sengaja dipertingkatkan”.
Dalam usaha untuk meredakan keadaan, Menteri Luar Negara G7 – Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan peningkatan tentera China berisiko menjejaskan kestabilan rantau itu.
“Tiada justifikasi untuk menggunakan lawatan sebagai alasan untuk aktiviti ketenteraan yang agresif di Selat Taiwan. Adalah perkara biasa dan rutin bagi penggubal undang-undang dari negara kita untuk mengembara ke peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu. – BBC