Shahaniza Shamsuddin menandatangani plak perasmian Kedai KasihNita di Kompleks Bazar Serambi Teruntum, di Kuantan hari ini

KUANTAN- Inisiatif mewujudkan Kedai KasihNita bagi membuka ruang penglibatan orang kurang upaya (OKU) memasarkan produk golongan itu merupakan antara pelaksanaan  elemen pemerkasaan OKU di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Masyarakat, Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pembukaan premis itu bertepatan dengan objektif teras tersebut iaitu meningkatkan peluang golongan OKU untuk bekerja sendiri.

“Penyertaan OKU dalam bidang keusahawanan dan program pemerkasaan ekonomi ini menggalakkan mereka terlibat dalam latihan vokasional dan lain-lain program sokongan pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan, swasta dan NGO.

“Ia selaras menerusi Teras 2, iaitu Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022 telah menggariskan Memperkasakan Ekonomi OKU.

Majlis mendatangani persefahaman bersama antara PUSPANITA dan Makmur Gold di Kedai KasihNita hari ini

“Langkah ini sebagai teras yang ingin dicapai melalui strategi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam pasaran pekerjaan terbuka, inklusif dan boleh diakses bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Kedai KasihNita cetusan idea Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang, Datin Seri Kamariah Mohamad itu merupakan satu kolaborasi strategik antara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMN) Pahang  dan beberapa lagi agensi lain.

Premis yang terletak di aras bawah Serambi Teruntum ini mempamerkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) daripada tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Kuantan seperti kuih bahulu, rempenyek, kekacang dan tasbih manik yang dihasilkan oleh golongan berkenaan.

Jelas Shahaniza lagi, pemerkasaan ekonomi OKU itu amat penting bagi memastikan golongan istimewa itu dapat menjana pendapatan dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup.

“Dengan inisiatif seumpama ini, kita dapat meningkatkan keterlibatan OKU dalam masyarakat dan dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk bergaul dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette