Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO meminta kerajaan segera menangani pekerja yang bekerja di bawah kelayakan pendidikan (underemployment) dan bukannya terlalu fokus kepada isu pengangguran sahaja.

Ini kerana, di Malaysia terdapat dua jenis pekerja yang bekerja di bawah kelayakan pendidikan iaitu pekerja yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu disebabkan pekerjaan yang tidak cukup dan pekerja yang terpaksa bekerja di bawah kelayakan pendidikan mereka.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pengangguran dan pekerja yang bekerja di bawah kelayakan pendidikan merupakan satu bentuk kerugian kepada negara kerana ia adalah pembaziran sumber daya manusia.

Malah, fenomena graduan bekerja dalam industri Gig atau sebagai penghantar (p-hailing atau e-hailing) juga salah satu daripada isu yang perlu ditangani.

”Sekiranya mereka yang menganggur ini berpeluang untuk bekerja, sudah pastinya saiz ekonomi negara akan jauh lebih besar dari sekarang hasil dari pertambahan potensi output dan perkhidmatan yang dapat dihasilkan.

“Sekiranya underemployment dapat dihapuskan, dan pekerja yang berkepakaran berpeluang untuk bekerja di dalam pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran; maka mereka akan dapat memberikan sumbangan produktiviti yang jauh lebih besar kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Statistik Negara setakat Mei 2022 memaklumkan kadar pengangguran dalam negara adalah 3.9% bersamaan 637,700 orang.

Jelas beliau, kelembapan ekonomi dan kejatuhan tingkat pelaburan merupakan punca utama yang menyebabkan tingkat pengangguran dan underemployment di kalangan anak muda meningkat.

Dengan itu, kerajaan perlu mencari idea baru yang dapat membantu dalam memacu pemulihan ekonomi negara pasca Covid ini.

“Sebab itulah pentingnya strategi penciptaan peluang-peluang pekerjaan mesti dirangka secara komprehensif dan holistik mengambil kira pendekatan ekonomi yang progresif dan berdaya maju untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, pada masa sama mampu menarik minat pelabur-pelabur berkualiti yang berupaya mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

“Ini termasuklah perencanaan projek-projek mega berdaya maju yang mampu mencetuskan anjakan drastik kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Menurut beliau, pelan pemulihan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada polisi yang mantap, tetapi juga sangat bergantung kepada kestabilan politik agar pelan ekonomi yang dirangka dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast