Annuar Musa

KUALA LUMPUR- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memperluaskan skop kelayakan pemberian tablet program PerantiSiswa kepada empat lagi kategori pelajar B40, tambahan kepada kategori sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKomm) Tan Sri Annuar Musa berkata, empat kategori itu ialah pelajar program asasi di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pelajar program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pelajar semester 1 dan 2 sekolah menengah (Tingkatan 6) di bawah KPM dan pelajar yang mengikuti program di Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian diploma.

“Semua kategori ini boleh membuat permohonan mulai hari ini sehingga 30 Sept,“ katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai status pemberian tablet oleh K-KOMM melalui program PerantiSiswa dan jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40 setakat ini.

Sebelum ini, pelajar golongan B40 yang layak memohon program berkenaan ialah mereka yang mengikuti program sepenuh masa diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta di bawah kendalian KPT, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah KPM dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Sementara itu, Annuar berkata jawatankuasa perolehan telah memilih tablet jenama Samsung sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Katanya, proses perolehan yang dibuka semula telah selesai penghujung Julai lepas dan proses pengagihan peringkat awal kepada pelajar yang layak, akan bermula bulan ini.

Menurut beliau sejumlah 40 peratus pemohon didapati tidak layak semasa tapisan awal permohonan fasa pertama dan bagi memastikan tiada pelajar layak yang tercicir, proses rayuan akan dibuka.

”Bagi memastikan proses rayuan dibuat dengan teratur, kita akan melibatkan kepimpinan persatuan mahasiswa di IPT untuk membuat proses pengesahan manakala bagi pelajar sekolah, pemimpin tempatan termasuk Ahli Parlimen akan dilibatkan.

”Satu jadual akan disiapkan dan akan diedarkan kepada pemohon yang berjaya pada hujung bulan ini,” katanya. – BERNAMA