Mohamed Jusoh bersama Dr Danial beramah mesra dengan penghuni pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Penghuni Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Lebih setahun tiada kes jangkitan Covid-19 direkodkan membabitkan penghuni di Penjara Reman Pulau Pinang.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, ia susulan pihaknya melakukan saringan terhadap  penghuni yang baru dimasukkan ke penjara tersebut.

Mohamed Jusoh.

Jelas beliau, sejak Jun tahun lalu tiada sebarang kes Covid-19 direkodkan selain 98 peratus daripada 340 penghuni telah lengkap menerima vaksin.

“Kesemua penghuni yang baru masuk akan disaring di Penjara Satelit Bukit Mertajam sebelum dibawa ke penjara ini.

“Syukur dengan langkah itu kita dapat mengawal jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara ini.

“Malah, jika ada kes, kita akan maklum kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seramai 323 kakitangan di sini juga sudah terima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Jusoh ditemui di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Penghuni Penjara Reman Pulau Pinang.

Pada majlis itu, penceramah jemputan, Dr Danial Zainal Abidin turut menyampai ceramah kepada penghuni penjara tersebut.

Mohamed Jusoh menyampaikan cenderahati kepada Dr Danial.

Mohamed Jusoh berkata, majlis berkenaan yang dilakukan setiap tahun bertujuan menyuntik semangat kepada penghuni bagi berhijrah ke arah kebaikan sekiranya dibebaskan kelak.

“Mereka mempunyai harapan untuk berubah justeru, diharap sempena Maal Hijrah ini dapat menyuntik semangat kepada mereka bagi berhijrah,” kata beliau. – MalaysiaGazette