Wakil e-hailing Grab Food, Mohd Firdaus Abdul Hamid menyerahkan memorandum tuntutan kepada wakil majikan dalam satu kempen mogok “Food Delivery Blackout” ketika di HQ Grab, Axis Business Campus, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Hampir 100 orang penghantar makanan membanjiri pekarangan bangunan ibu pejabat majikan mereka di Jalan SS51/A, di sini, hari ini.

Mereka menyerahkan memorandum yang merangkumi enam tuntutan kepada wakil syarikat.

Penghantar makanan itu mula berkumpulan di tempat letak kereta bangunan itu pada jam 4.15 petang dan bilangannya bertambah 45 minit kemudian sebelum bertemu wakil syarikat.

Pertemuan tersebut membawa kepada perbincangan selama 20 minit sehingga jam 5.45 petang.

Bagi menunjukkan solidariti, para penghantar makanan itu menandatangani memorandum yang mengandungi enam tuntutan untuk diserahkan kepada seorang pegawai syarikat itu.

Enam tuntutan itu ialah menilai dan menambah semula kadar bayaran tambang mengikut jadual pengambilan dan penghantaran pesanan pelanggan, mengekalkan kadar bayaran tambang yang sama seperti kadar bayaran asas untuk pesanan berganda dan memansuhkan semula bonus dan mengembalikan point diamond.

Selain itu, mereka menuntut sistem berjadual dimansuhkan, membenarkan penunggang membatalkan pesanan tanpa mengganggu ID dan menghapuskan sistem tunai.

Sementara itu, wakil penghantar makanan, Mohamad Firdaus Abdul Hamid mendakwa majikan tidak menghargai pengorbanan mereka yang berada di atas jalan menghantar makanan.

Antara penunggang e-hailing Grab Food berkumpul beramai-ramai dalam satu kempen mogok “Food Delivery Blackout” untuk menyerahkan memorandum tuntutan ketika di HQ Grab, Axis Business Campus, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.

“Pulangan daripada majikan haruslah setimpal dengan kesungguhan dan kerajinan kami mengambil dan menghantar barang pesanan pelanggan tanpa mengira masa sehingga lewat malam saban hari tanpa mengenal erti penat dan cuaca,” katanya kepada.

Tambah beliau, mereka tidak berniat menetang majikan dan berharap pengrusan syarikat dapat memperhalusi tuntutan yang dikemukakan itu.

“Kalau ambil contoh dulu, kita ada point diamond yang lebih memanfaatkan semua rider malangnya sejak ia digantikan dengan bonus, dan inilah punca kami terpaksa mengambil risiko mengejar masa sehingga melanggar lampu isyarat semasa menghantar sesuatu pesanan kepada pelanggan.

“Malah satu lagi permintaan adalah sistem berjadual perlu dihapuskan kerana ia mengamalkan dua kasta yang mana rider sepenuh masa yang berjadual sahaja bermanfaat dan menerima pesanan banyak manakala rider sambilan yang tidak berjadual tidak mendapat pesanan yang ternyata menjejaskan pendapatan kami yang dikejar setiap hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi mengawal keadaan, sepasukan polis dan pasukan bertindak ringan (Light Strike Force) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berada di lokasi. – MalaysiaGazette

Antara penunggang e-hailing Grab Food berkumpul beramai-ramai dalam satu kempen mogok “Food Delivery Blackout” untuk menyerahkan memorandum tuntutan ketika di HQ Grab, Axis Business Campus, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.