Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran supaya jangan memandang ringan jurang pendapatan antara kaum di negara ini.

Tegasnya, di Malaysia terdapat jurang ketara antara golongan miskin dengan yang kaya.

Lebih berbahaya, menurutnya, apabila jurang pendapatan itu dikaitkan dengan kaum.

“Yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum. Demikian ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina.

“Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

“Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Dr. Mahathir berkata, ada kumpulan yang tidak mahu jurang pendapatan antara kaum ditimbulkan kerana beranggapan boleh menyebabkan isu perkauman.

Bagaimanapun menurut beliau, sekiranya isu tersebut tidak ditangani dengan betul ia boleh menyebabkan situasi menjadi lebih buruk.

“Ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan. Konon menyuarakan perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum.

“Kononnya lebih baik perkara ini dilupakan sahaja. Malangnya jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani.

“Adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan,” kata Dr. Mahathir.

Serentak itu Dr. Mahathir yang baru menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menghimpunkan parti-parti kecil berteraskan Melayu dan islam, mencadangkan agar tindakan afirmatif mengurangkan jurang pendapatan dilaksanakan segara.

Katanya, ia boleh dilaksanakan melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang telah ditambah baik.

“Sebab itu affirmative action atau tindakan mengurangkan jarak perpecahan, perlu dilakukan lebih awal. Ya. Dasar Ekonomi Baru dikatakan gagal. Tetapi dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.

“Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,” kata Dr. Mahathir.

Menurut beliau, jika masyarakat ingin mengelak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya – jarak kumpulan itu hendaklah dikurangkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast