Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur tidak menerima sebarang permohonan atau notis pemakluman mengenai perhimpunan kumpulan penghantar makanan di beberapa lokasi pusat beli-belah sekitar ibu negara selepas solat Jumaat hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan maklumat,lokasi perhimpunan adalah di luar Kuala Lumpur, cuma mungkin ada kumpulan yang akan bermula di ibu negara.

“Nasihat saya kepada semua warga penghantar makanan, patuhi peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu notis pemberitahuan tular di media sosial menyatakan kumpulan itu akan berkumpul di 10 lokasi berbeza termasuk lima di ibu negara pada jam 4 petang ini sebelum bergerak secara berkumpulan ke ibu pejabat syarikat penghantaran makanan di Petaling Jaya, Selangor untuk menyerahkan memorandum yang  merangkumi beberapa tuntutan kepada majikan mereka.

Semalam media melaporkan perkhidmatan penghantar makanan bakal mengalami gangguan selama 24 jam berikutan tondakan penghantar makanan merancang melaksanakan mogok kerana tidak puas hati terhadap majikan dalam menjaga kebajikan mereka.

Presiden Persatuan P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor dipetik berkata, rancangan berhimpun dengan mengambil ‘hari rehat’ sehari pada Jumaat menunjukkan solidariti penghantar makanan terhadap isu berbangkit yang didakwa masih tidak ada penyelesaian. – MalaysiaGazette