Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Labuan, Husham Hassan menyerahkan dokumen kepada Peguam, T. Harpal Singh mengenai Isu tunggakan bayaran balik hampir RM 7 juta sejak 2018 kepada ahli-ahli Koperasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL Berhad di Surau Al Aula, Perumahan Sri Labuan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diminta bertanggungjawab dan membuat siasatan segera terhadap Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Berhad.

Tindakan dibuat susulan lebih 1,000 ahli yang mencarum di bawah koperasi itu tidak boleh menuntut semula pembayaran balik wang simpanan dan faedah yang berkaitan lima kategori bernilai hampir RM7 juta.

Antara faedah yang berkaitan lima kategori ialah pesara wajib ahli daripada DBKL, ahli yang berhenti daripada koperasi pegawai DBKL, bayaran tuntutan tabung khairat kematian dan persaraan anggota, bayaran khairat kematian serta bayaran anggota yang meninggal dunia.

Menurut ahli koperasi, Husham Hassan, 61, syarikat koperasi itu dilihat culas dan mungkin berlaku ketirisan dalam membuat pembayaran tuntutan kepada pencarum yang sudah pencen termasuk yang sudah meninggal dunia.

“Saya pertikaikan pada pihak SKM, mereka perlu buat siasatan dan ambil tahu perjalanan koperasi ini sebab perlu ada buku laporan.

“Sedangkan buku laporan dari pihak koperasi tak pernah dikemukan pada SKM sejak 2017 hingga 2019 hinggalah sekarang. Maknanya empat kali tiada mesyuarat ahli lembaga (AGM).

“SKM perlu bertanggungjawab dalam hal ini walaupun ada akta tapi mereka yang mengurus dan membimbing semua koperasi di negara ini. Saya tidak mahu dengan macam Tan Sri Noh Omar kata koperasi gah  tapi koperasi DBKL semua pihak senyap,” katanya pada pemberita dalam sidang media hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Labuan, Husham Hassan . Foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2022.

Tambah Hisham, rata-rata pencarum yang terlibat masih berkhidmat di sektor berkenaan dan ada yang sudah bersara malah mereka membuat caruman ini melalui potongan gaji untuk di usia tua.

“Macam saya sudah mencarum sejak 1982 dan bersara pada 2019, hampir 38 tahun saya mencarum. Ingat bila sudah pencen adalah lebihan duit simpanan di usia tua tapi bila saya cuba buat tuntutan, macam-macam masalah.

“Saya telah buat permohonan ini dekat dua tahun dua bulan. Semua jabatan saya sudah pergi termasuklah jumpa Datuk Bandar untuk minta ihsan tapi tak dapat, tiada jawab. Isu ini ahli lembagalah yang bertanggungjawab untuk bangkitkan.

“Sekarang kami buat keputusan, serahkan hal ini kepada pihak peguam untuk menyiasat kerana bimbang ada berlaku ketirisan atau salah guna kuasa dalam wang koperasi kami,” ujarnya.

T. Harpal Singh . Foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2022.

Sementara itu, peguam yang mewakili mereka dari T. Harpal & Associates, T. Harpal Singh berkata, tindakan yang boleh diambil buat masa ini adalah memohon SKM membuat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada pihak koperasi terbabit.

“TTPM perlu diambil tindakan dan memerhati kenapa dari 2018 sehingga 2022, tiada mensyuarat lembaga (AGM) diadakan, kenapa tiada akaun audit semua.

“Jadi berdasarkan pada SKM, mereka patut bertanggungjawab untuk memastikan semua koperasi-koperasi ini mengadakan AGM dan audit tahunan mereka. Kalau ensyuarat tahunan mereka tiada, maka ia merupakan langkah yang tidak sah.

“Dengan adanya tribunal, tindakan bubarkan koperasi boleh dibuat berdasarkan perundangan. Namun buat masa ini, ia masih terlalu awal untuk kami komen. Kami akan teliti secara terperinci dari kedua -dua pihak, baru boleh ada tindakan yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tribunal Koperasi di bawah SKM buksn Tribunal Tuntutan Pengguna. Melalui peguam, anggota² Koperasi tersebut yg menjadi mangsa wajar mengemukakan aduan rasmi dan tuntutan kpd SKM dan dibicara serta didakwa dlm tribunal bukan di mahkamah. Cuma rayuan dan keputusan tribunal boleh di bawa ke mahkamah. Walaupun terdapat pengecualian mengadakan AGM dlm tempoh pendamik covid-28 dari Mac 2020 hingga awal 2022 bagi pembentangan akaun tahun² 2019, 2020 dan 2021, akaun dan kewangan koperasi perlu diaudit dan dimajukan laporannya kpd SKM dan dimaklum kpd anggota² dan AGM boleh dibuat secara maya.

Comments are closed.