Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap kepada media selepas Kongres Tahunan ke-58 FAM 2022 di Hilton, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan pengganti Brad Maloney sebagai pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara pada akhir bulan ini

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ketika ini penilaian mengenai barisan kejurulatihan baharu itu sudah hampir 80 peratus lengkap dibuat Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell.

Beliau menjelaskan, apa yang penting, kehadiran jurulatih baharu itu mampu membentuk kesinambungan antara skuad B-23 dan pasukan senior Harimau Malaya.

“Saya mempunyai hasrat yang tinggi untuk memastikan skuad B-23 negara dapat mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa dan sudah pasti calon ketua jurulatih B-23 nanti dapat membentuk kerjasama erat dengan skuad senior.

“Mengenai sama ada jurulatih terbabit daripada jurulatih tempatan atau import, biarlah ia diketahui nanti kerana kita akan buat sidang akhbar yang berbeza,” katanya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berucap pada Kongres Tahunan ke-58 FAM 2022 di Hilton, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2022.

Hamidin menambah, sekiranyanya jurulatih import dipilih untuk skuad B-23, salah seorang jurulatih daripada ‘anak tempatan’ mungkin turut akan diserap ke dalam barisan kejurulatihan seperti yang berlaku terhadap skuad senior ketika ini.

“Jurulatih tempatan kena ada tetapi saya tidak boleh bercakap banyak kerana biarlah pengarah teknikal FAM yang membuat penilaian,” katanya.

Kerusi ketua jurulatih skuad B-23 negara ketika ini masih kosong selepas Brad Maloney melepaskan jawatan atas persetujuan bersama dengan FAM bulan lalu.

Beliau kini baru dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad Australia bawah 17 tahun (B-17) negara itu. – MalaysiaGazette

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bergambar bersama perwakilan yang hadir pada Kongres Tahunan ke-58 FAM 2022 di Hilton, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2022.