Flea Market Taman Gelora menawarkan elbagai barangan, pakaian, pokok, perabot, barang keperluan dapur, permainan,aksesori dijual di pasar yang terletak berhadapan Tasik Teratai Taman Gelora yang menjadi pusat aktiviti riadah di Kuantan ini.

KUANTAN – Menyelusuri tahun 2021 dalam dunia teknologi digital tidak menghalang peniaga barangan terpakai untuk menggunakan sistem barter dalam urus niaga di ‘Kuantan Sunday Flea Market’.

Menariknya, di flea market ini, orang ramai boleh bertukar-tukar barang atau membeli barangan yang dijual pada harga murah.

Nurul Elia Mohd Nasir.

Penyelaras Peniaga di ‘Kuantan Sunday Flea Market’,  Nurul Elia Mohd Nasir, 32,  menyifatkan sistem tukar barang suka sama suka ini masih relevan di samping dapat menjimatkan belanja untuk memiliki barangan.

“Selain menawarkan harga yang sangat murah dan berbaloi kepada pembeli, kita mengamalkan sistem barter seperti dulu-dulu, iaitu tukar barang suka sama suka.

“Melalui konsep ini, saya berjaya memujuk anak saudara berusia untuk mengasingkan barangan mainan yang tidak digunakan dan mengajar dia berurus niaga. Dengan sistem barter ini dia dapat menjual barang mainannya serendah RM5.

Bukan itu sahaja, difahamkan peserta yang berminat untuk menyertai Flea Market di Taman Gelora ini hanya perlu menghubingi pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membuat pendaftaran dan hanya dikenakan yuran penjajaa sebanyak RM5 setiap kali diadakan.

Kuantan Sunday Flea Market

Tinjauan MalaysiaGazette hari pertama operasi pasar barangan terpakai ini yang dihidupkan semula selepas ditutup tahun lepas ekoran musim hujan mendapati ia disertai oleh 35 peserta.

Pasar berkonsepkan ‘garaj sale’ ini terletak di Taman Gelora, berhampiran tengah-tengah Kuantan ini beroperasi setiap Ahad bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Aktiviti ini wajar diketengahkan bagi mengelakkan pengumpulan barang tidak digunakan di rumah terlalu banyak sehingga menyebabkan risiko pembiakan nyamuk atau sarang tikus.

Pihak MBK membuat pemantauan di tapak Kuantan Sunday Flea Market

Pelbagai barangan, pakaian, pokok, perabot, barang keperluan dapur, permainan,aksesori dijual di pasar yang terletak berhadapan Tasik Teratai yang menjadi pusat aktiviti riadah di Kuantan ini.

“Penganjuran kali ini memang di bawah Bahagian Penjaja Majlis Bandaraya Kuantan bagi  memupuk budaya melupuskan barangan dengan cara paling baik, selain menawarkan barangan kepada mereka memerlukan.

“Secara tidak langsung kita dapat membersihkan rumah, mengasingkan barang terpakai yang boleh diguna semula dan menjana pendapatan sampingan,” tambah Elia.

Kartika Najihah Samsudin (bertopi) bersama keluarga memeriahkan Flea Market Taman Gelora.

Kartika Najihah Samsudin, 27, berkata, penganjuran aktiviti tersebut dapat memupuk sifat positif dalam kalangan keluarga untuk menjual barangan koleksi peribadi sendiri kepada orang lain.

“Kita juga tahu ada segelintir di luar sana yang tidak mampu membeli barangan dengan harga original, tetapi bila ada platform ini, kita boleh jual dengan harga mampu milik kepada orang lain,” katanya.

Khairul Hazim Abdul Malik (bertopi)

Mohd Khairul Hazim Abdul Malik, 45, berkata, penyertaan setelah penjenamaan semula ini mendapat sambutan positif dalam kalangan penggunjung.

“Saya tawarkan jualan barang sendiri, barang orang rumah, mainan anak-anak untuk memeriahkan suasana, kita rasa seronok boleh dapat penuhi aktiviti hujung minggu dengan mewujudkan kesedaran orang ramai budaya kitar semula dan penggunaan barang terpakai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast