Alto Linus.

KUALA LUMPUR – Kecederaan dialami sebahagian besar pemain Sabah FC nyata memberikan hikmah tersendiri kepada pemain berpengalaman, Alto Linus yang akhirnya kembali mengetuk pintu di dalam kesebelasan utama pasukan.

Malah pemain berusia 36 tahun itu berjaya memberikan prestasi terbaik semasa diturunkan berdepan PJ City FC dan Melaka United FC.

Justeru, Alto mahu sedaya upaya kekalkan prestasi sama bagi terus mengekalkan tempat kerana menyedari tahap persaingan yang semakin sengit di Sabah.

“Apabila kali pertama tahu saya disenaraikan bagi berdepan PJ City, saya memang terkejut dan risau kerana bimbang dengan tahap kecergasan memandangkan musim ini saya belum pernah bermain.

“Namun, saya rasa bersyukur kerana latihan ekstra yang sering kali dibuat berjaya mengekalkan kemampuan saya untuk beraksi secara kompetitif dan mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Bila sudah dapat peluang sebegini, saya pasti akan berikan segala-galanya kerana bukan senang hendak bersaing dengan nama-nama besar dan tiada istilah zon selesa buat mana-mana pemain.

“Datuk Ong juga ada berpesan yang beliau buat pasukan Sabah ini bukan untuk 11 pemain sahaja tetapi untuk semua pemain yang disenaraikan dan itu menjadi kata-kata motivasi buat saya untuk tidak henti berusaha,” katanya.

Musim lalu, Alto menjadi pemain ketiga tertinggi yang melakukan penampilan bersama Sabah selepas Amri Yahyah (30 penampilan) dan Risto Mitrevski (27 penampilan) apabila bermain dalam 20 dari 22 aksi Liga Super dan enam daripada lapan perlawanan TM Piala Malaysia.

Malah juga menjadi pemain paling senior dalam pasukan Sabah apabila mula menyarung jersi ‘The Rhinos’ sejak 2010 biarpun pernah bersama T-Team FC selama setengah musim pada tahun 2014 sebelum kembali ke Sabah sehingga musim ini.

Bermain selaku pemain sayap bertahan di sebelah kiri, khidmat Alto pasti akan terus disandarkan menjelang pertembungan ‘Borneo derby’ dengan Sarawak United di Stadium Likas, esok.

Beliau melihat pertemuan ini sesuatu yang sangat istimewa sambil menghormati kekuatan Sarawak United yang semakin meningkat sejak diterajui S. Balachandran.

“Saya harap rakan-rakan jangan terlalu yakin bertemu Sarawak kerana pernah beberapa kali kami dijangka menang namuntanpa dijangka, kami tewas di laman sendiri.

“Tambah-tambah ini perlawanan Borneo derby, Sarawak sudah pasti mendapat motivasi tambahan untuk menang dan mereka perlahan-lahan kian baik di bawah jurulatih baharu iaitu Balachandran.

“Kami tidak mahu melepaskan peluang bagi meraih tiga lagi mata penting apabila bermain di laman sendiri untuk terus kukuhkan kedudukan di tangga kedua liga,” katanya. – MalaysiaGazette