Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mempersoalkan tindakan kerajaan yang segera menubuhkan jawatankuasa khas mengenai insiden melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sedangkan masih membisu soal skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang bernilai lebih RM9 bilion.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, DAP tiada halangan jika kerajaan mahu menyiasat insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu namun perlu mengambil tindakan sama dalam kes yang melibatkan dana awam yang mencecah berbilion ringgit itu.

“Hari ini, kerajaan bertindak pantas membentuk jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk menyiasat dakwaan tindakan KPPA menengking pegawai imigresen di KLIA.

“Sebaliknya, setakat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal membuat sebarang komen atau mengambil sebarang tindakan sejak Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menerbitkan penemuan mereka minggu lepas.

“PAC menuntut hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab meluluskan RM9 bilion untuk membeli enam LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard (BNS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu melibatkan KPPA, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk menentukan pemilihan ahli jawatankuasa tersebut nanti.

Sebelum ini, tular dakwaan kejadian KPPA menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Imigresen dalam kejadian yang berlaku antara pukul 8.40 hingga 9.40 pagi di KLIA, Rabu lalu.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, sikap Perdana Menteri yang berdiam diri terhadap skandal LCS memberi gambaran yang menyedihkan kerana gagal memberi keutamaan kepada kes berkepentingan awam dalam mentadbir negara.

“Pada tahun 2011, kerajaan memilih untuk menukar Sigma LCS kepada GOWIND LCS bertentangan dengan nasihat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), walaupun kerajaan membayar lebih RM6 bilion, namun tiada satu pun LCS dihantar.

“Jika jawatankuasa peringkat tinggi mengenai insiden tengking itu boleh dibentuk, mengapa tidak jawatankuasa sama untuk bertindak dan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal LCS?

“Ismail mesti sedar bahawa RM6 bilion telah dibayar dan mungkin hilang tanpa satu kapal pun dihantar, adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti dan ketelusan penuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette