penjara
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dipercayai meletakkan vape pada mulut seorang bayi dalam kejadian di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, di sini baru-baru ini, ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Rupiah Abd Wahid berkata, peniaga warga tempatan berusia 23 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah JBU pada 12.45 tengah hari tadi.

Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis oleh ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu pada 6 Ogos lepas, yang turut menjelaskan bahawa lelaki terbabit adalah kenalan adik perempuannya.

“Menurut pengadu, ketika kejadian beliau bersama mangsa (bayinya), adik perempuan dan lelaki terbabit sedang berada di kedai makan.

“Tiba-tiba lelaki itu yang sedang memangku mangsa, dengan niat bergurau telah meletakkan vape yang tidak berfungsi pada mulut mangsa dan kejadian itu dirakam adiknya, seterusnya dimuat naik di laman media sosial oleh adiknya dan tular,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan dan permohonan reman terhadap lelaki terbabit akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Rupiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, orang ramai turut dinasihati agar tidak mengeluarkan sebarang komen atau maklumat tidak benar dan bertanggungjawab menerusi media sosial, bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, video berdurasi 17 saat memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut bayi yang sedang dipangkunya itu, telah tular di media sosial serta mendapat kecaman serta reaksi daripada pelbagai pihak. – Bernama