KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengesyorkan kerajaan segera nyahklasfikasikan tiga dokumen penting bagi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Menurut beliau, pihak Pakatan Harapan (PH) menyeru agar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan membuat keputusan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini untuk berbuat demikian.
Ia membolehkan seluruh rakyat Malaysia lebih memahami isu di belakang skandal LCS dan dapat bersama mencari jalan penyelesaian.
“Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini, banyak soalan akan kekal tidak terjawab.
“Pertama, kami menyokong cadangan PAC untuk nyahklasifikasikan “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia” terbitan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang.
“Laporan ini mempunyai maklumat kewangan yang tidak termasuk dalam laporan PAC. JKSTUPKK ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei 2018 di atas gesaan Menteri Pertahanan pada masa itu, Mohamad Sabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat bersama-sama bekas timbalannya, Liew Chin Tong.
Mengulas lanjut, Mat Sabu dan Chin Tong berkata, dokumen kedua yang perlu dinyahklasifikasikan adalah laporan pengauditan forensik projek LCS dari tahun 2019 oleh Boustead Naval Shipyard (BNS).
“Pengauditan ini dilaksanakan oleh firma audit Alliance IFA.
“Laporan pengauditan forensik ini amat penting kerana mempunyai butiran tentang pihak yang bertanggungjawab di peringkat operasi projek.
“Dokumen terakhir adalah 10 pucuk surat yang ditulis oleh mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Jaafar yang memegang jawatan tersebut dari 1 April 2008 hingga 17 November 2015,” kata mereka lagi.
Dalam pada itu, Mat Sabu dan Chin Tong berkata, pihaknya ketika kecewa melihat teguran dan amaran Dr. Abdul Aziz yang tidak dilayan Datuk Seri Najib Razak.
“Kami amat kecewa melihat teguran dan amaran beliau tidak dilayan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Untuk mendapatkan jalan keluar bagi skandal LCS yang melibatkan berbilion ringgit, Kabinet perlu segera nyahklasifikasikan dokumen-dokumen ini,” jelas mereka lagi.
Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) untuk pembinaan lima kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.
Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.
Perkara itu dibuat PAC menerusi prosiding berkaitan kontrak berkenaan. – MalaysiaGazette

















PAC dah panggil Mat Sabun ke belum?