Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat 20 pegawai kanannya, berkuat kuasa 12 September ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri akan memegang jawatan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Beliau menggantikan Datuk Mior Faridahlathrash Wahid yang bersara wajib pada Jumaat lalu.

“Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin ditukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis (DCP).

“Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunselling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Ghazali Daud bertukar ke Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 Tambah beliau, Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bertukar ke Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat sebagai DCP.

Katanya, Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ulu Kinta, Perak, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff akan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat DCP.

“Manakala Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang pula bertukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Turut bertukar adalah Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette