Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUANTAN – Pas Pahang perlu mendapat kepercayaan seramai 17,456 pengundi baharu di negeri itu secepat mungkin dalam persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden, parti itu tidak boleh terus menggunakan strategi pilihan raya lalu dan perlu meneroka pendekatan berbeza untuk menarik lebih ramai pengundi muda ke arah “Pas Teraju Pahang”.

“Kalau kita tengok di Pahang sahaja, hasil pendaftaran undi secara automatik yang diluluskan Dewan Rakyat, Januari tahun ini terdapat penambahan 2,995 orang pengundi baharu, Februari (3,400); Mac, (4,100); April (4,100) dan Mei (2,700),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Himpunan Jentera Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang dan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang kali ke-40 di Kompleks Al Makmur Pas Pahang di Kerdau, Temerloh semalam.

Katanya, menurut data Qzen hasil dapatan institut kajian dalaman parti itu, lebih 85 peratus daripada responden yang terdiri daripada remaja berusia 18 tahun hingga 21 tahun tidak sabar untuk menggunakan hak mereka sebagai rakyat untuk keluar mengundi dan memilih pemimpin ketika PRU-15.

Berdasarkan kajian juga, Afnan berkata, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi undi anak muda termasuk personaliti calon atau parti, isu dan dasar yang diperjuangkan, selain track record sesebuah parti dalam pentadbiran.

“Ini peluang kepada Pas. Tugas kita, bercerita, bersembang, bercakap tentang apa yang Pas buat menerusi platform media sosial secara harian menggunakan kreativiti masing- masing,” katanya.

Bagi tujuan sama, beliau turut menyeru jentera parti terutamanya di Pahang untuk sentiasa menguar-uarkan kejayaan Pas sebagai parti yang bersih di Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menambat hati pengundi baharu.

Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat tiga indikator utama yang menunjukkan PRU-15 semakin hampir iaitu apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bersetuju untuk menangguhkan pemilihan UMNO.

Katanya, tindakan itu sekaligus memberi ruang yang selesa kepada parti melayu terbesar itu untuk memikirkan strategi pilihan raya berbanding strategi pemilihan partinya.

“Yang kedua apabila Datuk Seri Tengku Zafrul dilantik menjadi Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor. Ada satu ucapan yang tular, disebut oleh Datuk Seri Ahmad Zahid, memberi isyarat kepada Datuk Seri Tengku Zafrul untuk menggunakan setakat mana yang boleh untuk memberi manfaat kepada parti UMNO,” katanya.

Selain itu, keengganan Perdana Menteri untuk bertemu dengan parti Perikatan Nasional (PN) berkenaan lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada parti Bersatu juga dikatakan sebagai antara indikator utama PRU-15 bakal diadakan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette