Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan seorang anggota parti politik yang mencederakan tangan seorang kenalannya dengan pisau gara-gara berang kerana mangsa membuat laporan rasuah terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kertas siasatan lengkap kes berkenaan telah diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya pagi tadi untuk tindakan lanjut.

“Suspek telah disiasat setelah direman selama tiga hari sejak Sabtu hingga hari ini (Isnin).

“Jika mendapat arahan tuduh, kita akan tuduh hari ini (heret ke mahkamah),” katanya kepada MalaysiaGazette pagi ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden MIC tak kompromi jika ahli terlibat kes jenayah

Lelaki toreh tangan mangsa guna pisau gara-gara laporan SPRM

Suspek toreh tangan mangsa guna pisau direman – Polis

MIC gantung keahlian Tamilan selepas video tular

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Katanya suspek masih dalam tempoh tahanan reman selama tiga hari sejak Sabtu lalu dan tamat pada hari ini.

Dalam kenyataan Sabtu lalu, Eng Lai mengesahkan polis telah menerima laporan polis seorang lelaki warga ditoreh di tangan kiri dengan sebilah pisau semasa berada di hadapan sebuah kedai Jolly Hair Salon di Batu 5 Jalan Ipoh, Jumaat lalu.

Polis mendapati, mangsa yang berumur 42 tahun telah berselisih faham dengan suspek.

“Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan SPRM berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

“Semasa pertelingkahan di tempat kejadian suspek telah bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau sebelum mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka sedalam 3 sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

Bertindak atas siasatan, pada hari sama kejadian jam lebih kurang 11.50 malam pihak polis telah berjaya menangkap suspek di perkarangan IPD Sentul.

Suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau. -MalaysiaGazette