The Chairman of Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi addressing the Indian community at Tampoi, Johor Bahru in conjunction with Johor state election. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022
Ahmad Zahid Hamidi PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 11 MARCH 2022. Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan kepada masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Tampoi, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyelesaikan isu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan bijaksana dan telus.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan, isu berkenaan melibatkan aspek pertahanan negara dan kerahsiaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya lebih sensitif dalam mengendalikan isu tersebut.

“Namun terdapat kebimbangan pencerahan kepada aspek keselamatan negara kita akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.

“Justeru, pihak kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh ‘mahkamah netizen.’

“Sekali lagi diseru agar PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan,” katanya.

Ahmad Zahid antara yang menjadi tumpuan berikutan kelewatan pembinaan enam buah LCS yang sepatutnya siap bermula 2019.

Dalam hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid mendakwa asas kelewatan adalah disebabkan kerana kerajaan Pakatan Harapan yang mengambilalih pentadbiran negara mahu menghentikan projek tersebut.

“Justeru pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberikan perspektif yang menyeluruh. Asasnya apabila PH mengambil alih kerajaan dan cuba hentikan projek tersebut.

“Isu platform SIGMA atau GOWIND adalah produk lama dan baharu yang pihak terlibat lebih tahu dan perlu pencerahan kepada pihak awam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional berkata, politik salah menyalah atau blame game sentiasa membuatkan pembangkang popular.

Justeru beliau menasihatkan netizen supaya mengetahui setiap fakta dan data secara lebih tepat.

“Namun tanpa perspektif yang menyeluruh, fragmentasi atau serpihan pendapat seolah-olah menjadi senjata untuk menarik perhatian netizen.

“Memang netizen cenderung suka perkara sensasi. Namun setiap fakta dan data perlulah diketahui secara lebih jelas dan tepat,” kata Ahmad Zahid.

Menurutnya, kekeliruan yang berlaku adalah disebabkan tidak dapat membezakan di antara yang palsu dan benar.

Pada Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion.

Menurut beliau, BNS yang diberikan projek secara rundingan terus itu perlu menyiap dan menyerahkan lima unit kapal itu selewat-lewatnya Ogos ini.- MalaysiaGazette