Isham (dua dari kanan) ketika mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MoT) akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kali ketiga bagi menangani isu lumba haram serta mat rempit dalam negara yang dilaporkan semakin berleluasa.

Ketua Setiausaha MoT, Datuk Isham Ishak berkata, menaikkan kadar saman minimum, jatuhkan hukuman penjara terhadap mat rempit yang menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya lain adalah antara cadangan pindaan dalam akta tersebut akan dibentang pada sidang Parlimen sesi tahun hadapan.

Jelas beliau, pindaan lain adalah mengenakan tindakan terhadap pemilik bengkel yang menyediakan perkhidmatan mengubah suai motosikal bagi kegunaan lumba haram serta penonton di atas jalan yang menyokong kegiatan itu.

Isham.

Pindaan lain pula, katanya, membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas ibu bapa pelumba bawah umur 18 tahun.

“Ia susulan kemalangan maut membabitkan lima pelumba haram di negeri ini pada 17 Julai lalu, satu perbincangan dibuat antara MoT serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini bagi membendung kegiatan tersebut secara komphensif.

“Sebelum ini kita sudah buat pindaan akta bagi menangani isu pemandu mabuk serta dilihat berjaya mengurangkan kes itu dan kita harap pindaan APJ 1987 juga mencapai matlamat jadi hasil perbincangan hari ini membawa kepada langkah penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang iaitu pemindahan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ikutkan kita nak bentang pemindahan akta ini dalam sidang Parlimen Oktober ini tetapi tak sempat susulan laporan lengkap berhubung kemalangan serta trend lumba haram baru diperoleh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah JPJ negeri, Adenan Mat Isa.

Mengulas mengenai pelan jangka pendek, Isham berkata, satu task force (pasukan khas) yang akan ditubuhkan melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan, PDRM serta Badan Bukan Kerajaan untuk menguatkuasakan akta ini dengan lebih komphensif bagi mengekang aktiviti lumba haram.

Jelas beliau, modul pelaksanaan pelan jangka pendek itu akan dilakukan di Pulau Pinang sebelum dijadikan modul oleh negeri lain.

“Kita mulakan di Pulau Pinang agar usaha bersepadu ini efektif sekali gus dapat mengubah budaya jijik pelumba haram.

“Selain itu, kita juga akan mempertingkatkan operasi untuk membendung gejala sosial yang tidak sihat ini,” kata beliau.

Empat maut dalam kemalangan disyaki terlibat aktiviti lumba haram – Polis

MalaysiaGazette pada Julai lalu melaporkan, lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu disyaki terlibat dalam lumba haram.

Tujuh mangsa dilaporkan terlibat dalam kemalangan awal pagi itu dan lima daripadanya disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan. – MalaysiaGazette