Liew Chin Tong ketika merasmikan merasmikan Upacara Peletakan Lunas LCS Keempat pada Oktober 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong terus menjadi sindiran berkaitan hantarannya di Facebook pada 31 Oktober 2018 mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perasaan bangga yang dilahirkan Chin Tong terhadap perojek itu dan pujian beliau terhadap LCS kelas Gowind itu mengundang kenyataan sinis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Chin Tong seolah-olah telah lupa dengan pujian yang pernah diberi terhadap projek berkenaan dan terhadap kapal LCS kelas Gowind itu.

“Timbalan Menteri Pertahanan PH kata dia bangga. Dia kata, kapal kelas Gowind mantap.

“Dia kata projek diberi kepada Boustead untuk pembinaan kapal yang buat julung-julung kalinya direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh warga tempatan mampu bangunkan industri pertahanan tempatan. Sekarang dia lupa,” sindir Najib.

Dalam hantaran di Facebooknya, Chin Tong menyifatkan LCS kelas Gowind itu sebagai projek nasional.

Katanya, pembinaan kapal itu julung kali direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh warga tempatan dengan bantuan perundingcara daripada Naval Group (NG) Perancis.

“LCS 4 yang sedang dibina adalah sebuah kapal dari kelas Gowind, bakal dilengkapi dengan keupayaan persenjataan yang memiliki kuasa tempur dan sistem pertahanan 4 dimensi peperangan iaitu peperangan udara, paras permukaan, bawah permukaan dan elektronik.

“LCS ini adalah sebuah projek nasional yang melibatkan pembinaan kapal yang buat julung-julung kalinya direkabentuk dan dibina sepenuhnya oleh warga tempatan dengan bantuan perundingcara daripada Naval Group (NG) Perancis.

“Adalah menjadi harapan kerajaan supaya kawasan limbungan menjadi satu wadah di mana berlakunya pemindahan teknologi bagi membangunkan keupayaan dan kepakaran industri pembinaan kapal perang tempatan,” kata Chin Tong dalam hantaran tersebut.

Beliau ketika itu diberikan penghormatan untuk merasmikan Upacara Peletakan Lunas LCS Keempat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendapati pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh yang juga wakil rakyat DAP berkata, pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

Namun keputusan itu telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima TLDM pada ketika itu, keputusan tersebut adalah something is gravely wrong,” kata Kah Wong. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dulu bukan main bangga dengan LCS, sekarang Chin Tong buat bising pula