PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) diingatkan tidak tergesa-gesa memperkenalkan peraturan dan prosedur baharu untuk mengawal selia industri perkhidmatan penghantar sehingga ia membebankan.
Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata, kerajaan perlu memperhalusi cadangan itu sebelum pindaan tiga akta pengangkutan jalan dibentang ke Parlimen pada Oktober ini.
“Syarat GDL ini sebenarnya kita rasa perkara itu baik sebab dari sana kita dapat statistik atau data yang tepat untuk semua penunggang p-hailing.
“Tetapi kita kena tengok atau perhalusi kos dan prosedur, janganlah kedua-duanya sehingga menyusahkan penunggang p-hailing,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak menolak kemungkinan untuk mewajibkan penunggang dan pemandu memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) untuk bekerja dalam industri p-hailing.
Selain itu, kerajaan juga akan meminda had umur penunggang p-hailing atau motosikal penghantaran barangan kepada tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini.
Pindaan itu melibatkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). – MalaysiaGazette