Dua beradik dan bapanya maut manakala seorang lagi kanak-kanak warga Myanmar parah selepas dicampak bapanya dari MRR2 dalam kejadian menyayat hati pada 2 Ogos lalu.- Gambar ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang cedera parah akibat dicampak oleh bapanya dari jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Kepong pada 2 Ogos lalu kini dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa berusia lima tahun yang dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini sudah sedar.

“Mangsa telah keluar dari ICU semalam. Kanak-kanak malang itu kini berada di wad kanak-kanak untuk pemantauan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik maut, seorang kritikal dicampak bapa di MRR2

Ditanya mengenai status siasatan terkini kes tersebut, Eng Lai berkata, polis masih menunggu waktu sesuai untuk menemubual bagi merakam keterangan kanak-kanak tersebut.

Dalam kejadian pada 2 Ogos lalu, seorang kanak-kanak kritikal akibat parah manakala dua lagi adik beradiknya meninggal dunia selepas dicampak oleh bapa tirinya dari jejambat MRR2 di Kepong.

Suspek turut terjun daripada jambatan tersebut selepas mencampak ketiga-tiga anaknya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette