rasuah kit siang RCI
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Iskandar Puteri mahu satu penyiasatan terbuka diketuai oleh seorang bekas hakim untuk menyiasat tuduhan serius dari Meta yang mendakwa ada akaun palsu di media sosial yang ada kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lim Kit Siang yang juga veteran DAP berkata, penafian PDRM berhubung akaun palsu yang disifatkan sebagai ‘ladang toyol’ itu adalah lemah dan tidak meyakinkan.

“Penafian pihak polis mengenai dakwaan dari gergasi media sosial, Meta yang mengatakan pihak polis terlibat dalam cubaan memanipulasi perbincangan awam dengan menubuhkan “ladang toyol internet” adalah satu penafian yang lemah dan tidak meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kit Siang, kenyataan dari Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddi yang mengatakan polis memandang serius dakwaan itu dan sedang cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini adalah tidak mencukupi.

Menurut beliau, polis perlu menyatakan sama ada mereka akan memberi kerjasama kepada siasatan terbuka yang diketuai oleh seorang hakim atau bekas hakim ke atas tuduhan dari Meta.

Noorsiah dalam satu kenyataan sebelum ini menafikan dakwaan itu dan menyatakan pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

“Polis memandang serius laporan Syarikat Meta Platforms Incorporated mengenai dakwaan akaun palsu,” katanya dalam kenyataan.

Meta sebelum ini dilaporkan, tidak menolak kemungkinan polis menjadi “dalang” di sebalik jaringan akaun dan halaman di media sosial dalam cubaan memanipulasi wacana awam di negara ini.

Syarikat yang mengoperasikan Facebook dan Instagram itu berkata, pihaknya memadamkan 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar koordinasi perlakuan tidak sahih.

Melalui Quarterly Adversarial Threat Report yang dikeluarkannya, Meta berkata, individu di sebalik akaun, halaman dan kumpulan mengendalikan “troll farm”.

Iaitu satu usaha koordinasi yang ditempatkan bersama bertujuan merosak dan memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu untuk mengelirukan orang ramai berhubung siapa di belakang mereka.

Untuk rekod, pada pilihan raya sebelum ini DAP turut didakwa mempunyai ‘ladang toyol’ yang dikendalikan oleh ‘Red Bean Army’. Bagaimanapun DAP menafikan dakwaan tersebut.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukit Aman nafi dakwaan Meta, tiada kaitan dengan akaun palsu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast