Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar rakyat kini amat merindui pentadbiran dominan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gabungan parti politik tersebut adalah harapan sebenar mereka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat mengembalikan pengharapan kepada BN untuk memulihkan apa yang mereka telah kehilangan suatu ketika dulu.

Menurut beliau, kemenangan BN dalam banyak pilihan raya kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka telah menzahirkan harapan tersebut.

“Barangkali mereka sedang mengalami perasaan itu iaitu sesuatu baru terasa berharga apabila sudah kehilangannya.

“Kini, sebahagian besar rakyat amat merindui pentadbiran dominan kerajaan BN kerana BN adalah harapan sebenar rakyat.

“Maka, menjadi tanggungjawab BN untuk memenuhi aspirasi rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Presiden UMNO itu menambah, sebahagian rakyat pernah tersilap menaruh pengharapan kepada kepalsuan dalam PRU-14.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, natijah kesilapan itu amat besar, merimaskan lagi memusnahkan dan diibaratkan seperti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

“Keuntungan diinginkan daripada janji bulan dan bintang tidak menjelma, sebaliknya menghilangkan kemakmuran yang dikecapi.

“Ketidakstabilan politik, kerosakan ekonomi negara, kemunduran ekonomi rakyat, kemerosotan kesejahteraan antara kaum,” jelasnya.

Namun, Ahmad Zahid berpandangan, kesilapan namun bukan berpunca daripada mereka yang tersilap, sebaliknya berpangkal oleh yang bijak memperdaya.

“Bagaimanapun kegagalan negara bagi tempoh 22 bulan dan 17 bulan telah memberi iktibar paling berharga buat mereka.

“Bahawa pengharapan sesuatu yang amat besar ertinya dan tidak boleh sewenang-wenang dieksperimen apatah diperjudi,” katanya.

Beliau berkata, pengharapan perlu berpaksi kepada rasional, logik, berfakta dan seboleh-bolehnya pernah terlihat.

“Itu antara faktor sebahagian besar mereka yang terpedaya telah kembali kepada BN,” jelasnya. – MalaysiaGazette