shahrir abdul samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad meminta DAP agar bersikap lebih jujur membicarakan isu kapal tempur pesisir (LCS) yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau mempersoalkan ‘nada’ pemimpin-pemimpin DAP yang didakwa berubah semasa mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Pada masa yang sama, Shahrir menyindir sikap pemimpin DAP, Liew Chin Tong yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan ketika era PH dahulu.

“Satu hari dalam bulan Oktober 2018. Pakar strategis DAP di rostrum yang berkongsi lambang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Boustead.

“Ketika kerajaan PH, TLDM macam baik-baik dengan Boustead. Bersama -sama melancar keel kapal LCS.

“Sekarang PKR dan DAP tak de dalam kerajaan, PAC bawah DAP pula berbunyi lain. Keep it honest’ guys!” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau turut berkongsi hantaran dan gambar-gambar dari laman Facebook Chin Tong ketika pemimpin DAP itu merasmikan Majlis Peletakan Lunas LCS Keempat pada 31 Oktober 2018.

Dalam hantaran tersebut, Chin Tong menyatakan kebanggaannya kerana diberi penghormatan untuk merasmikan majlis berkenaan.

LCS Liew Chin Tong
Liew Chin Tong ketika berucap merasmikan Majlis Peletakan Lunas LCS Keempat pada 31 Oktober 2018. (Gambar: Facebook Liew Chin Tong)

Kini, setelah hampir empat tahun berlaku, Chin Tong merupakan antara pemimpin PH yang lantang mengkritik projek LCS walaupun ketika menjadi timbalan menteri dahulu, beliau mempunyai pandangan yang berbeza.

Pada Khamis lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion. – MalaysiaGazette