ALOR GAJAH – Sebanyak 58 buah rumah dan sebuah masjid di tiga buah kampung di Tanjung Bidara rosak dipukul ribut dalam kejadian pagi tadi.
Kejadian pukul 9.40 pagi itu membabitkan Kampung Pasir Gembur, Kampung Air Hitam Darat dan Kampung Air Hitam Pantai dengan Kampung Pasir Gembur paling paling teruk terjejas melibatkan 50 kediaman rosak.
Selain itu, masing-masing enam dan dua buah rumah terjejas di Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Air Hitam Darat selain sebuah masjid di Kampung Air Hitam Darat turut mengalami kerosakan.
Seorang warga emas, Fatimah Abd Rahman, 70, ketika ditemui terkejut apabila mendapati bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.
“Ketika kejadian, saya sedang dalam bilik air sebelum tiba-tiba mendapati bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin kencang.
“Mujurlah tiada penduduk yang cedera atau melibatkan kehilangan nyawa walaupun ribut kali ini adalah yang paling teruk sejak 40 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang penduduk, Azman Samah, 48, berkata, dia terdengar bunyi kuat di pintu dan tingkap rumah sebelum melihat banyak bumbung bertaburan atas jalan raya.
“Waktu itu saya sedang baring di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi seakan-akan ribut menyebabkan saya segera berjalan ke tingkap dan pintu.
“Bila dekat pintu, saya terkejut melihat atap rumah jiran semua bertaburan di atas jalan,” katanya.
Seorang lagi warga emas, Rokiah Bakar, 60, tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumahnya rosak teruk dibadai ribut dan tidak sempat berbuat apa-apa kerana tiada di rumah.
Ketika kejadian beliau melakukan kerja-kerja membersihkan masjid berhampiran.
“Waktu kejadian, saya dan mak cik tiada di rumah kerana kerja kemaskan masjid berhampiran sebelum tiba-tiba anak datang beritahu rumah dah rosak dipukul ribut,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut meluangkan masa meninjau kampung dan memberi jaminan semua kediaman yang terjejas akan dibaik pulih segera.
“Kita ambil tindakan segera memberi bantuan wang tunai untuk meringankan sikit beban dihadapi mangsa dalam kejadian ribut yang tidak disangka-sangka ini,” katanya.
Turut meluangkan masa melawat mangsa adalah Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) diketuai Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim yang membantu menjalankan misi bantuan kepada mangsa terjejas.
“Kita bersimpati terhadap semua mangsa dan akan menggerakkan beberapa ahli untuk memberi bantuan sewajarnya kepada beberapa buah rumah terutamanya yang paling teruk terjejas,” katanya.- MalaysiaGazette