Ismail Awang

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir masyarakat menjadikan media sosial sebagai medan mengecam tanpa usul periksa boleh menjadi contoh tidak baik untuk generasi akan datang.

Ia dibimbangi akan diikuti golongan muda yang terikut-ikut dengan budaya mengecam  individu termasuk pentadbiran kerajaan serta politik.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Ismail Awang berkata, pihaknya gusar keadaan itu kerana negara akan melahirkan generasi tidak matang dalam berdepan situasi tertentu.

Katanya, ia diburukkan lagi pelbagai tohmahan dengan tujuan menjatuhkan reputasi seseorang terutama individu dikenali ramai.

“Contohnya, Permas menerima banyak maklum balas mengenai insiden membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

“Seperti mana dijelaskan, sebagai pentadbir dalam perkhidmatan awam, teguran dibuat atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasportnya serta delegasinya.

“Tetapi di media sosial, rakyat sudah mula menghukum, membuat telahan dengan pelbagai andaian. Ini yang kita bimbang kerana tanpa mengenali individu itu, kita sudah menjatuhkan hukuman sendiri,” katanya di sini hari ini.

Ismail berkata, seperti juga isu dasar yang lain, situasi hari ini menunjukkan rakyat terlalu sibuk dengan kritikan kepada pihak berwajib serta perkhidmatan awam namun dapatan siasatan menunjukkan sebaliknya.

Menurutnya, terlalu banyak isu yang berlegar di media sosial bersifat andaian semata-mata dan tinjauan pendapat oleh Permas mendapati, ia seolah-olah menjadi satu keseronokan kepada masyarakat untuk membuat ulasan awal.

“Ini akan membantutkan usaha kita untuk mewujudkan masyarakat yang matang, berintegriti dan berilmu pengetahuan.

“Selagi mana sikap melabel dan menghukum menggunakan media sosial berterusan, kita sebenarnya mempunyai masalah besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast