Datuk Seri Ismail Sabri sudah diumumkan sebagai posterboy bagi BN pada PRU15 ini.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) bila nak diadakan sebenarnya? Dalam tahun inikah atau sebelum pertengahan tahun depan?

Persoalan ini bukan Bawah Kolong yang bangkitkan. Persoalan ini kedengaran di mana-mana tempat, baik di pejabat parti, di pejabat kerajaan mahupun swasta, di perkumpulan parti mahupun dihimpunan kecil-kecilan orang awam.

Waima, masuk kedai mamak, sambil-sambil tunggu dobi pakaian pun kedengaran cakap-cakap soal bila nak diadakan PRU.

Hebatnya penangan PRU ni, walaupun muncul lima tahun sekali, cakap-cakap mengenainya juga diungkitkan lima tahun sekali. Maknanya sekarang tempoh lima tahun itu sudah masuk edahnya.

Muhyiddin akan mengetuai parti Bersatu dan Pas dalam gagasan PN untuk menghadapi PRU15.

Kalau rakyat marhaen pun jadikan PRU sebagai topik utama perbualan mereka di mana-mana saja berada, apatah lagi di pihak atasan dalam parti-parti politik.

Malah, mungkin sudah ada yang pasang kaki atau melobi pucuk pimpinan masing-masing untuk jadi calon dan mahu dirinya dicalonkan.

PRU15 sama seperti PRU-PRU sebelum ini. Tidak banyak berubah dari segi muka calon dan janji-janji yang ditabur oleh calon.

Lebih teruk, masih ada muka-muka lama nak dikekalkan sebagai calon walaupun selama dua tiga penggal menjadi wakil rakyat, khidmatnya ke laut.

Bab calon, rakyat atau pengundi tidak boleh campur tangan. Itu urusan pucuk pimpinan. Pandai bodek dapatlah jadi calon atau dikekalkan sebagai calon walaupun berjalan pun pakai tongkat, solat pun duduk atas kerusi.

Rakyat memang tak boleh buat apa-apa dengan wakil rakyat macam ini, kalau dicalonkan lagi, melainkan guna kebijaksanaan menolaknya pada hari mengundi nanti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mempunyai barisan kepimpinan baharu yang baginya cukup mantap untuk bersama rakan gabungan PH menghadapi PRU15.

Bawah Kolong bukan nak perlekeh, apatah lagi nak merendah-rendahkan kewibawaan mereka sebagai wakil rakyat atau dikekalkan sebagai calon.

Bawah Kolong bercakap berdasarkan bukti. Tengok saja pada persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Wakil rakyat yang uzur apabila datang ke dewan lebih banyak berdiam diri atau bertindak sebagai pemerhati.

Mungkin mereka nak ambil bahagian dalam sesi pertanyaan, kemuka soalan tambahan, sesi mencelah mahupun sesi perbahasan, tetapi tidak ada kekuatan berbuat demikian.

Jadi, apa peranan dan tanggungjawab mereka kalau sekadar datang ke Parlimen atau DUN semata-mata duduk korek hidung?

Kecewalah rakyat kawasan mereka kalau segala permasalahan yang dihadapi selama ini tidak dibangkitkan dalam Parlimen atau DUN untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Namun, Bawah Kolong tidak nafikan, tidak semua begitu, ada juga wakil rakyat yang uzur ini aktif dalam persidangan.

Bukan aktif memberi cadangan, desakan atau kritikan, tetapi ada antaranya aktif dalam mengemukakan soalan tidak masuk akal, soalan budak-budak hingusan.

Mereka mencelah dan mengganggu sesi perbahasan orang lain sehingga masa persidangan berlalu begitu saja disebabkan pihak yang kena celah itu mahu mempertahankan haknya.

Ini yang jadikan suasana persidangan Parlimen atau DUN saling tak tumpah macam pasar borong, bertempik melolong, berteriak, menengking, menjerit sana sini.

Tingkah laku mereka langsung tidak mencerminkan diri sebagai wakil rakyat.

Walaupun menerima ejekan daripada parti lawan, kecil GTA bukan sebarang kecil, kecil-kecil cili padi ni.

Memang wajar dan tepat sekalilah kalau Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada April lalu secara simbolik berkenan membeli sekeping lukisan yang menggambarkan keadaan Dewan Rakyat yang disi pelbagai jenis beruk dan turut terselit beberapa ekor katak.

Lucu, tapi benar. Itulah realiti kerajaan hari ini selepas jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 Mei 2018. Asal masuk dewan, berbalah, bergaduh, tengking menengking.

Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pentadbiran baharu pada malam 9 Mei 2018, tidak keterlaluan Bawah Kolong katakan, bermula dari situlah negara berada di hujung tanduk.

PH yang diterajui PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya sempat memerintah selama 22 bulan sehingga Februari 2020 akibat ‘Langkah Sheraton’ oleh pemimpin-pemimpin mereka juga.

Tempoh penggal PRU15 mencatatkan berakhirnya era pemerintahan BN dan bermulanya era pembangkang sebagai kerajaan, tetapi menyerahkan kerajaan Persekutuan kepada PH bagaikan tikus membaiki labu.

Selepas PH tumbang, rakan PH juga yang ambil alih kerajaan untuk pelantikan Perdana Menteri kali kedua, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Mac 2020.

Beliau yang mengetuai parti Bersatu bergabung dengan BN dan Pas untuk bentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi, Muhyiddin juga tak lama, dia letak jawatan pada 16 Ogos 2021 dan tempatnya digantikan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM kesembilan.

Haru biru habis politik Malaysia sepanjang tempoh penggal PRU-15 ini, selain mencatatkan Hari Ini Dalam Sejarah pertukaran tiga PM dalam masa tiga tahun.

Alhamdulillah, sejak Ismail Sabri jadi PM, keadaan ekonomi negara agak stabil sedikit dan pandemik Covid-19 pun sudah beralih ke endemik.

Kalau Muhyiddin masih PM, mungkin pandemik masih berlarutan sampai sekarang. Wallahu’alam, tapi itulah data yang dipegang oleh rakyat.

Negara sudah diisytihar darurat, tetapi bilangan jangkitan Covid-19 semakin meningkat hingga ada satu hari mencecah lebih 30,000 kes. Memang pelik bin ajaib. Rakyat dikurung, semua lokasi lenggang, semua pintu keluar masuk ditutup, kes boleh naik.

Sepatutnya, bila darurat, kes Covid akan terhenti sebab tidak ada pergerakan untuk virus jangkit berjangkit, tetapi kesnya makin naik. Ini menyebabkan rakyat marah dan memberi tekanan kepada Muhyiddin untuk letak jawatan.

Selang beberapa minggu Ismail ambil alih, tiba-tiba pula kes boleh turun merudum. Ini yang rakyat kata, ada udang sebalik batu di zaman Muhyiddin.

Apa yang ada di sebalik makna tu, hanya dia dan geng-geng dia yang tahu, tetapi kerana itu juga dia letak jawatan.

Sebelum habis penggal PRU-15, sehingga hari ini sudah ada empat gagasan parti. Gagasan pertama, BN; gagasan kedua, PH; gagasan ketiga PN dan gagasan keempat yang terbaru ialah Gerakan Tanah Air (GTA).

Nak tak nak, setiap kerusi Parlimen dan DUN sudah wajib akan berlaku empat penjuru. Itu belum masuk calon-calon yang bertanding atas tiket bebas.

Pendek kata, PRU15 adalah pilihan raya paling meriah. Rakyat boleh membuat pilihan sepuas hati mereka, sebab semua parti ada belaka untuk mereka pilih satu daripadanya.

PRU-15 juga menyaksikan bermulanya era politik baharu. Politik gabungan, bukan lagi politik bersendirian. Maka, jika menang nanti, tidak akan ada parti yang menang secara dominan, melainkan menang secara bergabung.

Dengan kata lain, pertandingan PRU ini tidak ada lagi acara perseorangan, melainkan semuanya turun ke gelanggang secara berpasukan. – MalaysiaGazette