Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Parit Keroma, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2022. Hasni MB
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi ketika menjadi perdana menteri.

Menurut Ahmad Zahid, disebabkan kegagalan itu UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Mari kita refresh tujuh sebab UMNO terpaksa menarik balik sokongan (jawatan perdana menteri) kepada pemimpin utama PN yang akan mengetuai PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 itu?

“Kegagalan PN menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

“Sebanyak 12,784 nyawa maut, 1.42 juta kes jangkitan dan 249,277 kes aktif sebelum dia terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri,” kata Ahmad Zahid.

Beliau turut mendakwa Muhyiddin telah menggunakan darurat sebagai muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.

Menurut Ahmad Zahid, Ordinan Darurat lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat dwi-standard dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka terbeban dengan isu kelangsungan hidup.

UMNO turut menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana PN gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga ‘memandulkan’ segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela.

Selain itu Ahmad ZahidĀ  turut mendakwa PN gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

“Termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan,” katanya.

UMNO juga menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana PN gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan hingga berlaku peningkatan dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh.

Katanya, darurat serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak dan antara tempoh paling lama dalam dunia telah mengakibatkan rakyat hilang mata pencarian, berlaku kes bunuh diri dan ada terpaksa naikkan bendera putih merayu sumbangan makanan.

“Kegagalan PN mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik.

“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

“Memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan raja pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media serta titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin juga merupakan perdana menteri yang memberi pelbagai alasan dan sindiran kepada desakan UMNO dan BN berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.-MalaysiaGazette