Ismail Sabri Yaakob PM harassing Prime Minister UMNO
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah  menyegerakan siasatan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tegas Perdana Menteri, kiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

Ini kerana kerajaan memandang serius isu tersebut dan perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

”Dalam masa yang sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu, ujarnya. – MalaysiaGazette