PENYAKIT gigi seperti karies (gigi berlubang) dan penyakit gusi adalah proses yang dinamik yang mana proses kerosakan dan pemulihan akan berlaku bersilih ganti di dalam mulut pesakit. Proses pemulihan dapat berlaku apabila pesakit memberus gigi dengan kerap. Selain itu, kandungan ion fluorida di dalam ubat gigi yang berfluorida dan juga di dalam air liur pesakit secara semula jadi akan membantu di dalam pemulihan karies gigi. Pemulihan kembali enamel (tisu keras gigi) di kawasan berkaries kecil boleh terjadi dengan adanya proses dinamik ini atau dipanggil proses pemineral semula enamel. Namun, sekiranya kerosakan atau gigi berlubang telah sampai ke kawasan saraf, proses pemineralan semula tidak lagi dapat membantu dan gigi tersebut tidak boleh ditampal dengan tampalan biasa tetapi memerlukan rawatan yang lebih rumit seperti rawatan akar.
Penyakit gusi pula adalah antara penyakit pergigian yang selalu diambil ringan oleh masyarakat umum tetapi ia merupakan penyebab utama kehilangan gigi dalam kalangan pesakit. Kewujudan bakteria yang banyak dan merbahaya di dalam plak gigi boleh menyebabkan menyebabkan kerosakan kepada gusi dan tulang penyokong gigi. Tanda-tanda awal penyakit gusi adalah gusi mudah berdarah terutama ketika memberus gigi, gusi bengkak atau mulut berbau. Kerosakan gusi dan tulang penyokong gigi akan menyebabkan gigi goyang, gusi bernanah atau sakit Ketika menggigit.
Plak gigi merupakan punca utama karies dan penyakit gusi. Plak ini sebenarnya boleh dibersihkan sendiri oleh pesakit dengan teknik memberus gigi yang betul dan efektif. Sekiranya plak dibiarkan lama di dalam mulut dan tidak dapat dibersihkan dengan baik, ia akan mengeras dan dipanggil karang gigi (tartar). Tidak seperti plak gigi, karang gigi hanya boleh dibersihkan oleh doktor pergigian sahaja di klinik.
Oleh sebab itu, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Pengesanan awal kepada penyakit pergigian dapat dilakukan supaya rawatan segera seperti tampalan gigi dan pembuangan karang gigi (pengskaleran) dapat dilakukan. Adakalanya, doktor pergigian akan menyarankan rawatan pencegahan seperti pengapan fisur (penutupan alur-alur permukaan atas gigi dengan bahan tampalan) atau terapi fluoride untuk kes yang mempunyai risiko tinggi supaya kejadian penyakit pergigian dapat dihalang seperti kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Pemeriksaan dan rawatan pergigian dilakukan doktor pergigian biasa samada di klinik pergigian kerajaan atau swasta. Perkhidmatan di klinik pergigian kerajaan ditawarkan pada hari bekerja sahaja dan caj rawatan adalah rendah. Disebabkan faktor ini, ramai pesakit datang ke klinik pergigian kerajaan. Ini menyebabkan keutamaan rawatan akan dibuat mengikut keterukan masalah yang dihadapi oleh pesakit. Bagi pesakit yang menghadapi masalah yang ringan kadangkala temujanji untuk datang semula akan diberikan.
Di klinik pergigian swasta pula, perkhidmatan pergigian yang ditawarkan tidak terhad kepada waktu bekerja sahaja. Ada yang beroperasi sehingga waktu malam dan juga di hujung minggu. Waktu yang lebih fleksibel ini membolehkan pesakit memilih masa yang sesuai untuk datang menjalani pergigian tanpa mengganggu waktu bekerja mereka. Namun demikian, caj rawatan di klinik pergigian swasta adalah lebih tinggi tetapi masih tertakluk di bawah kawalan dan panduan oleh Majlis Pergigian Malaysia.
Di bidang pergigian, selain daripada doktor gigi biasa, pakar pergigian juga menawarkan perkhidmatan pergigian untuk kes yang kompleks. Sekiranya pesakit didapati perlu mendapatkan rawatan kepakaran. pesakit akan dirujuk kepada pakar pergigian oleh doktor gigi yang bertugas samada di klinik kerajaan mahupun swasta. Seseorang individu perlu menjalani latihan selama 5 tahun sebelum dianugerahkan dengan gelaran doktor gigi. Seterusnya, untuk mendapatkan gelaran pakar pergigian, doktor gigi ini perlulah menjalani latihan tambahan selama 3-4 tahun lagi. Skop rawatan yang ditawarkan oleh doktor gigi dan pakar pergigian adalah berbeza dari segi kerumitan kes. Oleh itu, sebagai pesakit anda seharusnya tahu hak anda sebagai pesakit untuk melindungi anda daripada sebarang salah laku ataupun rawatan yang tidak sepatutnya oleh individu tidak bertauliah.
Pertama, pastikan rawatan dilakukan oleh doktor atau pakar pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia. Caranya? Anda boleh memeriksa sijil amalan doktor berkenaan yang sepatutnya di pamerkan di ruang klinik. Sijil amalan yang bewarna kuning tersebut mestilah sijil yang dikeluarkan oleh Majlis Pergigan Malaysia (MPM) dan hendaklah terkini. Sekiranya, sijil amalan ini tidak dipamerkan, anda boleh bertanya dengan staf klinik dan jika mereka tidak dapat menunjukkan sijil amalan yang sah, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dari klinik pergigian yang lain. Bagi rawatan yang memerlukan kepakaran seperti rawatan pendakap gigi tetap (fixed braces) atau rawatan pergigian kompleks yang lain, seharusnya anda dirujuk kepada pakar pergigian untuk rawatan yang sepatutnya.
Kedua, selepas pemeriksaan pergigian di lakukan, doktor gigi atau pakar pergigian selalunya akan memberikan anggaran keseluruhan kos rawatan. Kos rawatan pergigian selalunya akan merangkumi kos seperti perundingan, bahan pergigian yang dipilih, yuran makmal untuk pembuatan gigi palsu serta tahap kerumitan sesuatu kes tersebut. Kos pengambilan radiograf juga akan diambil kira. Selain itu, kos juga bergantung kepada lokaliti klinik yang anda pergi, Kebiasaan, klinik di bandar atau klinik yang menyediakan persekitaran yang lebih kondusif akan menawarkan kos yang lebih tinggi berbanding dengan klinik yang berada di luar bandar. Doktor gigi atau pakar pergigian seharusnya secara telus, menerangkan dengan jelas segala anggaran kos rawatan tanpa sebarang kos tersembunyi.
Oleh itu, sebagai pesakit, anda berhak untuk bertanyakan dengan lebih terperinci tentang kos sebelum memberi persetujuan dan memulakan rawatan. Berbincanglah dengan doktor gigi atau pakar pergigian anda dengan sebaiknya. Sekiranya pesakit merasakan kos yang diberikan di luar kemampuan, pesakit berhad untuk dapatkan rundingan dan rawatan di
klinik pergigian lain yang lebih sesuai. Rawatan pergigian adalah bersifat peribadi dan selalunya pesakit akan menjalankan rawatan pergigian di mana pesakit selesa dan yang paling penting, yakin dengan doktor pergigian di klinik itu. Pilihan di tangan anda! Kesefahaman dan kepercayaan pesakit kepada doktor atau pakar pergigian dengan kelayakan yang sesuai adalah penting untuk kejayaan sesuatu rawatan yang ditawarkan.Wallhua’lam.
Dr Zurairah binti Ibrahim dan Prof. Madya Dr Asma Alhusna Abang Abdullah
Pensyarah/Pakar Pergigian Ortodontik
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia