Kapal LCS milik TLDM yang sedang dalam pembinaan. Foto FB Nazim Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan membayar RM6 bilion daripada RM9 bilion nilai kontrak projek pembinaan kapa pesisir tempur (LCS) kerana jumlah itu perlu dibelanjakan untuk hampir kesemua peralatan yang perlu dibina untuk membina enam kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ahmad Nazim Abdul Rahman yang menjelaskan perkara itu berkata, tempahan secara banyak adalah lebih murah berbanding membeli satu-satu.

Malah, katanya, sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk reka bentuk asas dan reka bentuk perinci kapal yang dibuat oleh Naval Group, Perancis.

“RM9 bilion untuk 6 kapal di bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion,” katanya di sini.

Beliau yang terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama-sama Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia turut mengesahkan pembinaan fizikal kapal-kapal itu sedang dijalankan.

”Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina,” ujarnya lagi.

Menurutnya, di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang serentak.

Bukan bina satu kemudian melakukan satu penghantaran.

Ini kerana, limbungan kapal di Lumut besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal secara serentak.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazim berkata, projek kapal LCS yang dibina oleh Malaysia jauh lebih murah berbanding di negara-negara lain.

Egypt membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS yang dibuat di Perancis.

Manakala Emiriah Arab Bersatu juga belanja hampir RM1.9 bilion satu LCS, sementara Amerika Syarikat belanja RM2.4 bilion untuk LCS mereka sebab lebih canggih.

Katanya, Boustead Naval Shipyard (BNS) mengambil alih membina kapal-kapal TLDM selepas kegagalan projek penswastaan yang diberi kepada syarikat Penang Shipbuilding & Construction Corporation (PSC) satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard.

Maka sebahagian dari wang LCS terpaksa digunakan untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini.

Katanya, maklumat ini ada dalam laporan PAC.

”Namun di sebalik bebanan ini, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3000 engineers, lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang yang dengan nilai projek lebih RM4 bilion dan ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini,” katanya.

Namun, Ahmad Nazim berkata, projek ini terhenti pada tahun 2019 atas pelbagai sebab.

Tetapi kabinet pada April 2022 telah memutuskan untuk menyambung semula pembinaan projek ini berdasarkan opsyen yang paling murah.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tiga opsyen termasuk pelan penstrukturan semula BNS ini diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan, tambah beliau. – MalaysiaGazette