pengeluaran KWSP
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu takut untuk menyiasat skandal kapal tempur pesisir (LCS) walaupun menerima ugutan daripada pihak tertentu termasuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir, namun Ismail Sabri perlu menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri melebihi kepentingan parti.

“Ya kita faham dalam UMNO sekarang ada ugutan mengenai tak dapat watikah (jadi calon) dan sebagainya, tambah pula pilihan raya sudah dekat.

“Saya rasa Datuk Seri Ismail Sabri kena pastikan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri melebihi daripada keinginan beliau untuk dicalonkan dalam PRU15, jangan takut-takut buat benda betul,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Pintu 3 Istana Negara, di sini, hari ini.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan bersama kepimpinan BERSATU menunjukkan memorandum selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia di hadapan Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’M, 10 OGOS 2022.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon perkenan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa keselamatan negara terjejas jika skandal LCS dibincang secara terbuka adalah tidak berasas.

“Perkara yang boleh dibincangkan kepada umum dibincangkan kepada umum, perkara yang dibincangkan secara tertutup dalam RCI, bincang secara tertutup.

“Saya pasti ada proses betul yang boleh diikuti untuk memastikan semua perkara yang patut dibincangkan, boleh dibincangkan, yang perlu dirahsiakan tetap dibincangkan dalam keadaan rahsia,” katanya. – MalaysiaGazette