Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Kalau tempoh pemerintahan Pakatan Harapan (PH) panjang, mereka mesti berbangga jika projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat disiapkan walaupun lewat, sindir Ahli Majli Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek.

Kenyataan sinis beliau itu memetik kenyataan Liew Chin Tong yang berbangga kerana diberi penghormatan meletakkan lunas LCS keempat pada tahun 2018.

Bagaimanapun, selepas PH tumbang, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu mengkritik pula projek berkenaan.

Ahmad Shabery berkata, rasa bangga Chin Tong itu sama seperti pujian yang pernah diberikan oleh Khalid Abd. Samad kepada Transit Aliran Massa (MRT).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pernah melahirkan rasa terpegun naik MRT tanpa pemandu.

Tambah beliau, begitu juga dengan kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa projek TRX yang merupakan sebahagian daripada pelaburan 1MDB adalah baik dan mampu tarik pelabur.

Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan semasa pentadbiran PH berkata, projek pembangunan mega, Tun Razak Exchange (TRX) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40 bilion dijangka mampu menarik ramai pelabur dari dalam dan luar negara, selain menjadi satu projek bertaraf antarabangsa.

Dalam kenyataan melalui Facebooknya, Guan Eng berkata: ”Minggu ini, projek TRX Exchange menarik pembiayaan RM2.15 bilion daripada bank antarabangsa yang yakin dana digunakan untuk tujuan sepatutnya di bawah pentadbiran bersih kerajaan PH.

“Ini hasil usaha ‘detox’ yang Kementerian Kewangan (MOF) lakukan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018 terhadap projek TRX Exchange yang terpalit dengan skandal 1MDB,” katanya. – MalaysiaGazette