Abd Rahim Muda menyantuni pekerja Alam Flora semasa Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Taman Gelora hari ini.

KUANTAN – Usaha menyelaras isu kebersihan akan diperluaskan ke setiap daerah ini di Pahang melalui pasukan unit khas yang dijalankan secara bersepadu antara agensi terlibat menerusi konsep war room.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, war room telah diwujudkan sejak 2019 di Kuantan menjadi perintis kepada penubuhan di 10 daerah lain di negeri itu.

Jelas Abdul Rahm, penubuhan unit itu dilihat berkesan apabila aduan yang dikemukakan dapat diselesaikan dengan segera menerusi penglibatan agensi yang berkolaborasi sebagai satu pasukan.

War Room Kebersihan Kuantan yang sudah beroperasi tiga tahun dilaksanakan secara bersama antara Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dan beberapa agensi lain.

Majlis Perlepasan Kenderaan SWCorp Pahang sempena Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan di Taman Gelora, Kuantan hari ini.

“Tujuan penubuhan war room ini adalah bagi menyelaraskan sebarang isu dan perkara yang berkaitan dengan kebersihan agar ianya dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Pasukan war room terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi dan syarikat konsesi bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembersihan,” katanya selepas Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022 di Taman Gelora hari ini.

Menurut Abdul Rahim, agensii lain terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Alam Flora Sdn Bhd, Road Care Sdn Bhd dan YP Maintenance.

Program Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2022

Difahamkan setiap aduan berkaitan kebersihan diterima daripada orang ramai akan dikongsi melalui kumpulan WhatsApp War Room Kuantan sebelumi tindakan susulan dilakukan. – MalaysiaGazette