Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bercakap selepas didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan permohonan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli untuk membatalkan pertuduhan rasuah terhadapnya.

Ini merupakan percubaan kali kedua olehnya untuk membatalkan kes rasuah ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menolak permohonan tersebut dan perbicaraan akan berjalan seperti yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen bermula hari ini dan esok.

Sebelum ini, dalam prosiding permohonan pembatalan, peguam bela tertuduh, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam penghujahannya berkata, pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dikenakan terhadap Ketua Whip Parti Warisan (Warisan) itu berunsur politik, berniat jahat (mala fide), menindas dan tidak berasas dari segi fakta dan perundangan.

Dakwanya, Rozman tidak mempunyai hubung kait atau penglibatan langsung atau tidak langsung dalam keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan (LPL) berkenaan syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dalam penghujahannya pula berkata, pertuduhan dikenakan terhadap pemohon adalah terang dan jelas.

Katanya, Rozman telah menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat LLPM  yang mana pada ketika itu bapa dan adik tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Sebelum ini, pada 4 April lepas, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Rozman untuk membatalkan tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas  pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes Rozman didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob. -MalaysiaGazette