KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak masih lagi mengadakan perbincangan bagi prosiding rayuan yang akan bermula pada Isnin ini meskipun barisan peguamnya akan menarik diri jika penangguhan prosiding rayuan akhir tidak diberikan.
“Perbincangan menyeluruh mengenai pilih atur yang ada sedang berjalan antara Najib dan peguamnya.
“Adalah salah dan pramatang untuk anak guam dan peguamnya untuk membuat spekulasi bagaimana prosiding itu akan berjalan, apakah keputusannya, dan apakah pilihan yang akan tersedia pada masa itu,” katanya sumber seperti yang dipetik FMT.
Peguam Najib akan tarik diri jika tidak diberi penangguhan rayuan SRC
Jelas sumber itu, terdapat pandangan berbeza dalam kalangan peguam mengenai kemungkinan keputusan dan tindakan terbaik, yang boleh difahami sepenuhnya.
Katanya, mungkin sesetengah peguam dalam pasukan itu keberatan untuk meneruskan tanpa diberi masa yang mencukupi bagi melakukan persediaan.
“Saya percaya peguam utama Hisyam Teh hanya mengemukakan satu daripada pilihan yang ada, mungkin apa yang boleh diistilahkan sebagai ‘senario kes terburuk. Namun berdasarkan pemahaman saya adalah peguam cara yang direkodkan – firma Zaid Ibrahim, Suflan, T H Liew & Partners – mempunyai niat untuk meneruskannya,” dedahnya pagi ini.
Semalam, ketika prosiding pengurusan kes terakhir rayuan petang semalam, difahamkan pada prosiding pengurusan kes terakhir rayuan petang semalam, Mahkamah Persekutuan telah diberikan kata dua oleh barisan peguam bela yang baharu dilantik tiga minggu lalu oleh Najib tiga minggu lepas.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada apa-apa kenyataan rasmi dari barisan peguam ini.
Najib melalui sepucuk surat telah menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya pada 25 Julai lalu.
Beliau kemudian melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan Tetuan Shafee & Co. manakala HIsyam dilantik bagi menggantikan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Barisan pembelaan baharu itu turut disertai Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.
Untuk makluman, Hisyam juga ketika ini adakah peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC manakala pada 8 Disember lepas, Mahkamah Rayuan pula mengekalkan sabitan salah serta hukuman ke atas Najib. -MalaysiaGazette