BAGHDAD – Seorang pelakon Iraq menyaman akhbar Economist kerana menggunakan gambarnya untuk menggambarkan artikel tentang wanita Arab “lebih gemuk” daripada lelaki.
Enas Taleb berkata, gambar itu digunakan di luar konteks tanpa kebenarannya dan melanggar privasinya.
Dia juga mendakwa imej telah di ‘photoshop’.
Pelakon dan pengacara program bual bicara terkenal itu dalam satu temu bual berkata, dia telah memulakan tindakan undang-undang di United Kingdom.
Setakat ini Economist belum membuat sebarang kenyataan.
Artikel bertajuk Why Women Are Fatter Than Men in the Arab World, diterbitkan pada akhir Julai, menggunakan gambar Taleb yang diambil sembilan bulan lalu di Pesta Antarabangsa Babylon di Iraq.
Kandungan artikel itu berpendapat kemiskinan dan sekatan masyarakat yang mengekalkan wanita di rumah adalah antara sebab mengapa lebih ramai wanita Arab daripada lelaki mengalami berat badan berlebihan.
Sebab lain, artikel itu menyatakan, mungkin “lengkung” dilihat oleh sesetengah lelaki sebagai lebih menarik.
“Orang Iraq sering menyebut Enas Taleb, seorang pelakon dengan lekuk tubuh yang besar sebagai ideal kecantikan,” katanya.
Taleb melabelkan artikel itu sebagai “penghinaan terhadap wanita Arab amnya dan wanita Iraq khususnya”, bertanya mengapa akhbar itu “menaruh minat terhadap wanita gemuk di dunia Arab dan bukan di Eropah atau Amerika Syarikat”.
Bercakap kepada TV al-Arabiya, Taleb berkata, dia telah menghadapi “komen buli” di media sosial.
Dia juga memberitahu majalah New Lines bahawa dia sihat dan gembira dengan penampilannya.
“Bagi saya itu sahaja yang penting,” katanya.
Taleb, 42, adalah antara pelakon terkenal Iraq dan mempunyai sembilan juta pengikut di Instagram.
Dalam temu bualnya dengan TV al-Arabiya dia berkata, Economist tidak bernasib baik kerana telah membuatnya marah.
“Mereka tidak tahu bahawa saya seorang selebriti dan tokoh masyarakat dan saya boleh mengubah krisis menjadi keuntungan,” katanya.
Artikel Economist juga menghadapi kritikan di media sosial, menuduhnya sebagai “perkauman”, “seksis” dan “memalukan” wanita Arab. – BBC